|


Menteri mesti jaga diri, dekati rakyat
Oleh Wan Hazmir Bakar dan Shamshul Azree Samshir

PM pengerusikan mesyuarat pertama Kabinet baru

PUTRAJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengingatkan semua anggota Kabinet baru supaya menjaga diri, memulihara integriti dan mendekati rakyat setiap masa.

Perdana Menteri berkata, semua menteri dan timbalan menteri perlu dilihat sebagai pemimpin berwibawa, memiliki integriti dan mesra rakyat.

“Saya sudah menyatakan bahawa dari segi penonjolan peribadi, amat penting mereka sentiasa dilihat sebagai berwibawa, ada integriti, mesra rakyat dan rajin bertemu rakyat.

“Pastikan apa juga projek dilaksanakan dengan baik. Jangan malukan Kabinet atau rakyat dan jangan buat apa-apa yang tidak baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet baru di Pejabat Perdana Menteri, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas amanatnya kepada barisan baru jemaah menterinya, Perdana Menteri berkata, beliau berpesan kepada mereka supaya menjauhkan diri daripada gejala rasuah kerana kerajaan tidak akan berkompromi berhubung gejala itu.

Perdana Menteri berkata, semua anggota Kabinet juga memberi perakuan untuk bekerja bersungguh-sungguh seperti disarankan, selain taat setia.

Abdullah berkata, beliau memutuskan semua jemaah menteri perlu membuat pengisytiharan umum berhubung aset yang dimiliki mereka setiap dua setengah tahun atau dua kali bagi tempoh sepenggal.

“Kita akan jadikan sebagai tatapan rakyat... Ini adalah untuk umum. Kita akan tentukan cara dan kaedahnya dan saya sudah meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membantu sediakan borang yang sesuai dalam hal ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau mahu semua anggota Kabinet memberi perhatian terhadap tujuh perkara teras yang menjadi mesej rakyat melalui keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.

“Antaranya, inflasi, jenayah, masalah sosial, pelaksanaan dan beberapa isu yang semuasudah ditetapkan. Isu reformasi sistem kehakiman juga penting, mesti juga diberi perhatian. Ia akan menjadi perkara diberi perhatian oleh Kabinet ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kabinet juga akan mengkaji setiap hujung tahun hasil segala tindakan bagi memperbaiki sebarang kelemahan.

“Langkah itu adalah lebih baik daripada menunggu untuk membuat kajian pada penghujung tahun keempat sebelum menghadapi pilihan raya kerana mungkin sudah terlewat untuk membuat sebarang pembetulan.

“Kita akan beri perhatian kepada golongan muda. Tentu ada aspirasi baru, inilah golongan yang kali pertama mengambil bahagian dalam pilihan raya, maka golongan ini perlu kita fahami dan perlu kita beri maklum balas terhadap kehendak mereka,” katanya.

Perdana Menteri juga mengingatkan jemaah menteri supaya melaksanakan semua projek disusun dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) seperti dijanjikan kepada rakyat.

“Sebenarnya, kita sekarang memasuki fasa kedua RMK-9. Kajian separuh penggal sedang dijalankan dan Kabinet akan diberi kertas tajuk ini oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU). Kita akan bincang dengan menetapkan projek dikenal pasti dalam RMK-9 fasa kedua,” katanya.

Abdullah turut menjelaskan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilantik Penasihat Khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri berhubung Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial, akan memberi tumpuan kepada soal berkaitan undang-undang keluarga Islam dan bidang tugasnya tidak bertindih dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr Ng Yen Yen.

“Saya percaya mereka (Shahrizat dan Dr Ng) boleh bermuafakat. Ia tidak menjadi penghalang, bahkan menjadi orang yang boleh membantu. Dengan adanya Shahrizat sebagai Penasihat, ia tidak bermakna Dr Ng akan mengalami kesusahan menjayakan peranan kementeriannya,” katanya.

Artikel lain: