KLANG: Majlis mengangkat sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor yang dijangka Sabtu ini mungkin terpaksa ditangguhkan pada Isnin depan berikutan timbul isu pengagihan kerusi mengikut parti.
Sebelum ini, barisan Exco baru kerajaan campuran Selangor akan mengguna pakai formula 4-4-2 iaitu masing-masing empat Exco dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP serta dua dari Pas.
Bagaimanapun, rancangan itu dikatakan bakal menimbulkan bantahan banyak pihak kerana ia menyebabkan bilangan Exco Melayu berkurangan sedangkan pihak istana dikatakan lebih cenderung supaya pengagihan sebelum ini dikekalkan iaitu enam Exco Melayu dan empat Exco bukan Melayu.
Istana Selangor dikatakan sudah meminta semua pihak melihat semula senarai yang sudah diserahkan kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini.
Pagi semalam, wakil DAP Selangor, Teresa Kok, Ronnie Liu dan Au Yong Hian Wah, menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan dan perbincangan itu dipercayai membabitkan jawatan Timbalan Menteri Besar dan barisan Exco.
Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak istana mengenai pertemuan itu.
Empat nama iaitu Kok (Adun Kinrara), Teng Chang Khim (Sungai Pinang), Liu (Pandamaran), dan Au Yong (Seri Kembangan) dikemukakan kepada Istana Selangor sebagai calon Exco dari DAP, manakala PKR dikatakan meletakkan dua lagi bukan Melayu iaitu seorang calon Cina dan seorang India.
Difahamkan, jika nama mereka diterima, ini bermakna enam daripada 10 Exco Selangor terdiri daripada wakil rakyat bukan Melayu.
Berikutan perkembangan terbaru itu, DAP berkemungkinan hanya mempunyai tiga Exco dan dijangka ditawarkan satu jawatan timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Wakil rakyat Seri Kembangan, Au Yong, yang juga Pengerusi DAP Selangor, sebelum ini pernah menyatakan formula 4-4-2 adalah yang terbaik berdasarkan jumlah kerusi DUN dimenangi ketiga-tiga parti iaitu 15 PKR, DAP 13 dan Pas lapan.
Jika formula baru iaitu lima Exco untuk PKR, tiga DAP dan dua Pas digunakan, PKR dikatakan akan meletakkan Haniza Mohd Talha (Taman Medan), Nik Nazmi Nik Ahmad (Seri Setia), Dr Xavier Jayakumar (Seri Andalas), Lee Kim Sin (Kajang) dan Yaakob Sapari (Kota Anggerik), manakala Pas menampilkan Datuk Hassan Mohamed Ali (Gombak Setia).
Seorang lagi wakil rakyat Pas yang bakal menyandang jawatan Exco tidak diketahui.
DAP dan PKR juga dikatakan menyerahkan isu senarai Exco kepada Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyelesaikannya.