|


Radzi lepas jawatan Setiausaha Agung Umno
Oleh Norfatimah Ahmad

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang digugurkan daripada barisan Kabinet baru semalam, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN), berkuat kuasa serta- merta.

Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berkata, keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak melantiknya semula sebagai anggota jemaah menteri memberi isyarat bahawa khidmatnya tidak lagi diperlukan.

“Saya anggap apabila tidak disenaraikan sebagai menteri, bermakna saya tidak lagi diperlukan. Selepas dinilai dan ditapis pelbagai perkara, rasanya lebih elok saya letak jawatan kerana saya rasa tidak boleh lagi bekerja dengan selesa dan berkesan sebagai Setiausaha Agung.

“Tetapi ini tidak bermakna saya kecewa. Ini bukan kali pertama (digugurkan dalam Kabinet). Saya pernah beberapa kali masuk dan keluar (Kabinet) sebelum ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di sini.

Pengumuman Radzi itu dibuat kira-kira jam 10.40 pagi ketika barisan Menteri dan Timbalan Menteri menunggu untuk mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.

Radzi, 66, yang menyandang jawatan Setiausaha Agung Umno dan BN pada Jun 2004, mempertahankan kerusi Parlimen Kangar pada Pilihan Raya Umum ke-12 baru-baru ini dengan memperoleh majoriti 13,671 undi. Beliau, yang berkelulusan undang-undang itu, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2004 hingga 2006.

Menjawab soalan, Radzi tidak menolak kemungkinan ada tekanan yang mendorong beliau berundur tetapi menafikannya ia mempunyai kaitan dengan isu pelantikan Menteri Besar Perlis.

“Saya harap semua pihak dapat menerima peletakan jawatan ini dengan hati terbuka. Jangan membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar mengenai keputusan saya ini kerana sebenarnya ia adalah proses biasa untuk mendewasakan dan kebaikan parti,” katanya.

Radzi berkata, beliau memaklumkan hasratnya kepada Abdullah yang juga Presiden Umno serta Pengerusi BN menerusi telefon, selain disusuli surat rasmi, pagi semalam.

“Presiden Umno menerima keputusan ini dan meminta saya terus menyumbang kepada parti. Malah beliau juga mengharapkan nasihat daripada pihak luar untuk kebaikan parti. Saya berdoa Umno akan terus maju di bawah kepemimpinan Presiden dan saya akan terus bersama Umno untuk berkhidmat dalam apa juga cara,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan beliau itu menggambarkan wujud perpecahan dalam Umno, Radzi berkata: “Saya tidak rasa begitu, keputusan ini tidak bermakna saya akan menyertai pihak lain hingga boleh menggugat dan memecah belah parti.”

Beliau menegaskan, dalam politik tidak ada yang kekal, malah peletakan jawatan adalah perkara biasa dan akan ada pengganti untuk meneruskan khidmat serta menyumbang tenaga untuk kebaikan parti.

Mengenai perancangannya selepas ini, Radzi berkata, sebagai Ahli Parlimen Kangar untuk penggal terakhir ini, beliau akan cuba membantu lima Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasannya supaya dapat melaksanakan tugas sebaik mungkin.

“Kita perlu pastikan rakyat yang mengundi berpuas hati dengan khidmat wakil rakyat Umno dan BN. Jangan pula selepas menang besar, kita jadi angkuh... itu tidak betul.

“Saya tidak mahu ada wakil rakyat Perlis yang besar kepala selepas menang. Sebab itu saya mahu membantu mereka untuk menjadi wakil rakyat yang prihatin dengan masalah dan rintihan rakyat,” katanya.

Radzi juga berkata, persiapan untuk Perhimpunan Agung Umno tahun ini sudah dilakukan dengan terperinci kerana membabitkan pemilihan kepemimpinan.

“Kami hanya menunggu tarikh daripada Presiden parti, kerja-kerja asas semuanya sudah siap,” katanya.

Ditanya sama ada beliau berhasrat bertanding untuk mana-mana jawatan dalam parti, Radzi berkata, perkara itu perlu difikirkan dulu.

Artikel lain: