Ahad, 27 Disember 2015 | 11:36am

12 lelaki, seorang wanita ditahan terbabit jenayah

KUALA LUMPUR: Seramai 13 individu, termasuk seorang wanita ditahan polis atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi operasi bersepadu dan sekatan jalan raya di Jalan Genting Klang di sini, malam semalam.

Operasi selama tujuh jam berakhir jam 4 pagi tadi itu bagi mengesan suspek dikehendaki polis, selain mereka yang disyaki terbit dengan kes curi kenderaan serta kesalahan jenayah lain.

Operasi membabitkan 80 anggota dari polis Balai Setapak dengan dibantu anggota polis bantuan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan diketuai Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan Wee Bee Seng.

Berdasarkan semua yang ditahan, dua dikenal pasti dikehendaki polis atas kesalahan samun, dua membawa pisau dan tiga lagi gagal membawa pengenalan diri termasuk seorang wanita.

Selain itu, empat lelaki disyaki penagih dadah turut ditahan dan masing-masing seorang membawa besi dan mercun di dalam kereta.

Berita Harian X