Jumaat, 24 Mac 2017 - 6:13PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Rahsia Kajol kekal menawan

Susunan Farhana Ab Rahman


BINTANG Bollywood, Kajol, nyata memiliki aura dan pesonanya sendiri sehingga mampu mencuri perhatian ramai dengan penampilannya yang semakin menawan.

Kemunculan Kajol menerusi filem Diwale bersama gandingan serasinya sejak dua dekad lalu, Shah Rukh Khan, pula berjaya mencetuskan fenomena apabila judul arahan Rohit Shetty terbabit meledak di pawagam.

Bukan sekadar terhibur dengan gandingan hebat kedua-duanya, malah penonton terkesima menyaksikan rupa paras mereka yang bagaikan tidak dimamah usia.

Kajol sendiri tampak lebih kurus berbanding kemunculannya di layar perak sebelum ini. Selain susuk tubuh, kulit isteri kepada pelakon Ajay Devgan itu juga menjadi bualan hangat kerana kelihatan cerah dan berseri-seri.

Difahamkan, ibu kepada dua cahaya mata itu begitu berdisiplin melakukan senaman dan mengikuti diet sihat bagi mendapatkan bentuk tubuh yang mempesonakan. Beliau turut berjaya menurunkan berat badan sebanyak 18 kilogram selepas melahirkan anak kedua.

Menurut Stylecraze.com, aktres yang mula meledak dengan filem Yeh Dillagi (1994) ini menggunakan khidmat jurulatih, Shereveer Vakil, yang juga bertanggungjawab melatih suaminya bagi mendapatkan bentuk badan yang cantik.

Beliau mengamalkan senaman setiap hari di gimnasium rumahnya bagi memperbaiki stamina, meningkatkan metabolisme dan mengekalkan berat ideal dengan bentuk tubuhnya.

Selain mengamalkan senaman secara disiplin, Kajol juga menitik beratkan pola pemakanan dan tidak menyentuh makanan segera atau kudapan yang tidak menyihatkan. Beliau percaya, pengambilan makanan berkhasiat dapat membekalkan tenaga berpanjangan kepada tubuh badan.

Bintang Kabhi Khushi Kabhie Gham itu mengutamakan ikan, telur, kekacang, ayam dan susu dalam diet sehariannya. Selain itu, Kajol sentiasa memastikan badannya mendapat air yang cukup dan mengambil buah-buahan, sayuran dan minuman berkhasiat bagi mengelakkan rasa lapar.


Trending

    Disyorkan