Ahad, 31 Julai 2016 - 8:36AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

2 maut, 8 parah bas jatuh parit di Assam Jawa

Oleh Suzaini Sulaiman



SEBUAH bas sewa khas yang terbabas lalu terbalik ke dalam parit di Batu 26 Jalan Klang-Teluk Intan, pagi tadi. - Foto ihsan bomba

KUALA SELANGOR: Dua maut manakala lapan lagi parah apabila sebuah bas sewa terbabas dan terbalik dalam parit di Batu 26, Asam Jawa, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 5 pagi tadi, seramai 22 mangsa lagi daripada 48 penumpang warga Indonesia serta pemandu bas berkenaan, cedera ringan manakala 16 yang lain tidak cedera.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 5.05 pagi dan pasukan penyelamat dari Balai Bomba Kuala Selangor serta Tanjong Karang dikerahkan ke lokasi.

Katanya, terdapat dua mangsa tersepit di bawah bas yang terbalik dan pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mereka.

"Mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki dan seorang wanita yang dipercayai penumpang bas.

"Bas ini dipercayai disewa khas dan membawa warga Indonesia dari Pasar Seni, Kuala Lumpur untuk ke jeti di Bagan Datoh, berkemungkinan untuk pulang ke negara asal.

"Kami mendapat maklumat, bas berkenaan bergerak dari Pasar Seni kira-kira jam 3 pagi sebelum melalui Jalan Klang- Teluk Intan," katanya.

Katanya, operasi menyelamat tamat pada jam 7.10 pagi tadi.

BAS ini dipercayai disewa khas dan membawa warga Indonesia dari Pasar Seni, Kuala Lumpur untuk ke jeti di Bagan Datoh, berkemungkinan untuk pulang ke negara asal.