Selasa, 28 Mac 2017 - 12:14PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Rambut 'emas' Indah hanya sementara

Oleh Farhana Ab Rahman


KUALA LUMPUR: Penyanyi, Indah Ruhaila, menjelaskan warna rambut keemasan digayakan olehnya ketika menghadiri acara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30, Ahad lalu, hanyalah bersifat sementara.

Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussin, 29, berkata beliau ingin menukar rambutnya kepada ungu gelap, namun perlu melunturkan warna asal bagi mendapatkan hasil diinginkan.

"Saya sempat berambut keemasan untuk dua hari saja. Rambut saya kini berwarna ungu gelap selepas proses melunturkan tona rambut asal bagi mendapatkan hasil terbaik.

"Namun, saya perlu menunggu sehingga dua hari sebelum mewarnakannya semula ke tona gelap, supaya struktur akarnya tidak rosak.

"Bagaimanapun, saya tidak kesal hadir ke AJL30 dengan imej rambut keemasan, walaupun sedar risiko dan reaksi orang ramai," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Percayalah itu berkata, perubahan imej adalah penting buat dirinya.

Selain muncul lebih segar, beliau juga mahu mengelakkan peminat cepat bosan melihat penampilannya yang sama.

Katanya, sebagai artis, beliau perlu berani berekperimentasi dengan gaya yang menonjol asalkan tidak keterlaluan.

"Sebagai artis saya kena peka terhadap penampilan dan imej. Atas alasan itu, saya warnakan rambut supaya tampak segar, terutama pada pembukaan tahun baharu. Lagipun, tidak salah berekperimentasi dengan gaya untuk mendapatkan kesesuaian.

"Sebelum ini, saya turut mendapat pelbagai reaksi dengan tindakan drastik memotong pendek rambut. Oleh itu, saya tidak melatah apabila ada yang ingin mengkritik imej saya," jelas Indah yang kini giat mempromosikan single Di Sebalik Takdir.


Trending

    Disyorkan