Isnin, 26 Jun 2017 - 4:56PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Syor Green Ridge jadi tapak warisan

Oleh Balqis Jazimah Zahari



PARA peserta diberi penerangan oleh Pengarah, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak (MOTAC), Mohd Hizaz Mohd Ibrahim (kiri) di Tapak Sejarah Perang Dunia Kedua 'Green Ridge-Battle of Kampar' di Kampar. - Foto Mohd Nazrulaswad

KAMPAR: Lokasi pertempuran Perang Dunia Kedua, 'Green Ridge: Battle of Kampar' di sini, dicadang diwartakan sebagai tapak warisan supaya tinggalan sejarah di situ dapat dipulihara dan dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Perak, Mohd Hizaz Mohd Ibrahim, berkata Kedutaan India di Malaysia juga sudah mengutus surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi tujuan sama, termasuk memohon tugu peringatan perang dibina di situ.

"Kami juga dalam proses memanjangkan perkara ini kepada ibu pejabat MOTAC bagi memohon peruntukan untuk membangunkan kawasan terbabit secepat mungkin. Dianggarkan ada lebih 10 kubu yang perlu dibaik pulih di kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar itu," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat dan membersihkan kawasan berkenaan, Mohd Hizaz turut mencadangkan MOTAC mengambil alih kawasan itu bagi proses pemulihan dan pemuliharaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi yang mengetuai lawatan terbabit, berkata kerajaan negeri merancang kerjasama dengan MOTAC bagi memulihara kawasan itu.

"Sebelum ini memang ada trek di situ yang diuruskan secara sukarela oleh sekumpulan pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun ia sudah terbiar. Jadi, kita akan membersihkan semula tapak itu dan kemudian melihat potensi pembangunan yang lain," katanya.

Lokasi di atas bukit itu adalah kawasan pertempuran hebat di antara 1,500 tentera British yang turut disertai tentera India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam pada 30 Disember 1941.

Pertempuran itu mengakibatkan 150 tentera British serta 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan sama, dikenali sebagai 'Green Ridge'.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan