Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:13AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sasar nilai eksport halal meningkat tahun ini

Oleh Norakmah Mat Youb



TEMURAMAH Ketua Pengarah Eksekutif Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd HDC, Datuk Seri, Jamil Bidin di Pejabat Halal Industry Development Corporation Sdn Bhd, Bandar Utama. - Foto Zulfadhli Zulkifli

KUALA LUMPUR: Industri halal Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan positif tahun ini dengan anggaran pertambahan nilai eksport antara dua hingga tiga peratus berbanding RM42 bilion pada tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Seri Jamil Bidin, berkata perkembangan positif itu berikutan pelbagai program dijalankan agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), selain peningkatan permintaan terhadap produk halal di peringkat antarabangsa.

"Walaupun dalam situasi ekonomi ketika ini, kita yakin pertumbuhan industri halal akan terus mencapai pertumbuhan memberangsangkan dengan tumpuan terhadap pasaran baharu di negara ASEAN, selain India dan Bangladesh," katanya selepas Taklimat Pensijilan Halal kepada usahawan India, di sini, hari ini.

Program itu dianjurkan Dewan Perniagaan India Kuala Lumpur & Putrajaya (KLPICC), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan Sekretariat Khas Untuk Memperkasakan Keusahawanan India (SEED) dengan kerjasama HDC.

Majlis perasmian itu disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sementara itu, Jamil menyarankan lebih banyak usahawan India memasuki industri halal Malaysia bagi mengembangkan perniagaan mereka di peringkat antarabangsa.

"Sehingga kini, kurang 100 syarikat India mempunyai sijil halal berbanding lebih 5,000 syarikat yang mempunyai pensijilan halal di negara ini.

"HDC mahu mereka merebut peluang yang ada dan kita sedia membantu mereka mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)," katanya.


Trending

    Disyorkan