Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:12AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Wakil industri, KDN bincang kadar levi

Oleh Irwan Shafrizan Ismail



Datuk Seri Alwi Ibrahim

PUTRAJAYA: Lebih 50 wakil industri mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim, di sini, hari ini bagi membincangkan mengenai kadar levi pekerja asing.

Namun difahamkan tiada keputusan dicapai berhubung pelaksanaan kenaikan kadar levi pekerja asing dalam mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu.

Mesyuarat seterusnya akan diadakan dalam tempoh 10 hari lagi, yang mana pihak industri akan tampil dengan cadangan dan penyelesaian berkenaan kadar levi terbabit.

Setiausaha Agung Dewan Perniagaan India, Datuk Dr A T Kumarajah, berkata industri berpendapat keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar levi terlalu mengejut tanpa mendapat pandangan pihak industri terlebih dahulu.

"Kami lebih gembira jika kerajaan duduk berbincang dengan kami dan kemudian membuat keputusan yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Hujung bulan ini kami akan datang semula dengan penyelesaian yang boleh dibincangkan, jika ada keperluan untuk kenaikan, berapa kadarnya dan bila ia harus dilaksanakan.

"Kenaikan ini tidak sepatutnya dilaksanakan secara tergesa-gesa. Kalau pun ada kenaikan, ia sepatutnya kadar yang kecil dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh masa tertentu," katanya.

Khamis lalu, kerajaan membuat keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan kadar levi baharu pekerja asing.

Pengenalan kadar baharu itu menyaksikan hanya ada dua sektor pekerjaan berbanding pelbagai sektor sebelum ini.

Sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan dikenakan bayaran baharu RM2,500 bagi setiap pekerja, manakala ladang dan pertanian RM1,500.

Ia membabitkan kenaikan levi sekali ganda dalam langkah memperkemaskan sistem pengurusan pekerja asing negara ini.

Bagaimanapun, pihak industri meminta kerajaan mengkaji semula cadangan itu kerana ia menambah kos majikan.


Trending

    Disyorkan