Sabtu, 27 Mei 2017 - 12:31PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Zizan selesa berkawan dengan Vie Santi

Oleh Hanisah Selamat



VIE Santie Harun dan Zizan Razak.

SERI KEMBANGAN: Pelawak, pelakon dan pengacara, Zizan Razak, 32, mengakui selesa berkawan dengan Vie Santie Harun yang juga bekas isteri aktor, Datuk Eizlan Yusof, namun hubungan mereka sekadar teman biasa.

Katanya, keluar makan dan menonton wayang bersama-sama tidak membawa makna menjalin percintaan, apatah lagi rakan lain atau keluarga turut menyertai mereka.

"Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana kami setakat berkawan. Sama macam orang lain, keluar makan, tengok wayang. Kalau betul saya bercinta dengannya, untuk apa sorok?

"Buat masa ini, kami memang tiada hubungan serius. Lagipun, Vie sendiri sudah membuat penafian di Instagramnya. Benarlah seperti dikatakannya dan kalau boleh, saya tidak mahu lagi menyentuh perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Bikers Kental 2 di sini, malam tadi. Filem berkenaan bakal dibintangi olehnya bersama-sama Awie dan Amerul Affendi.

Ditanya sama ada dirinya selesa berkawan dengan ibu kepada tiga cahaya mata itu disebabkan kematangan, akuinya muda atau berusia bukan soal utama kerana paling penting adalah keserasian.

"Saya tidak memilih dalam soal berkawan kerana saya juga mempunyai ramai kawan lelaki. Kalau dengan dia (Vie), cukup saya katakan kami berbual banyak perkara, terutama mengenai bisnes," ujarnya.

Sementara itu, Zizan juga menafikan pernah membuat permintaan kepada kelab peminatnya supaya hanya mengundang 'wartawan baik' saja ke sebuah majlis yang bakal dianjurkan.

Tegasnya, sepanjang berada dalam industri hiburan, beliau tidak meletakkan syarat sedemikian kerana menghormati kerjaya kewartawanan.

"Saya pelik bagaimana tuduhan itu timbul kerana kelab peminat saya tiada acara dianjurkan dalam tempoh terdekat, malah sudah agak lama kami belum berkesempatan mengadakan sebarang perjumpaan disebabkan kekangan masa.

"Apabila muncul cerita sebegini, sudah pasti saya terkejut apatah lagi ia sudah menjurus kepada fitnah. Apa pun, saya harap tiada pihak yang salah faham," katanya yang mengakui terkilan dituduh sedemikian.


Trending

    Disyorkan