Ahad, 23 April 2017 - 1:32PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Munafik pungut RM2.3j empat hari tayangan

Oleh Rozdan Mazalan



SYAMSUL Yusof dan Nabila Huda. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Filem seram, Munafik, mencatat kutipan memberangsangkan apabila memungut RM2.3 juta dalam tempoh empat hari tayangan.

Diterbitkan oleh Skop Production Sdn Bhd (SPSB), filem arahan Syamsul Yusof itu turut mendapat ulasan yang baik daripada pengkritik apabila mengetengahkan cerita yang penuh kejutan dan unsur keagamaan di dalamnya.

Menampilkan bintang seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim, A Galak dan Syamsul sendiri, filem terbabit ditayangkan di 112 pawagam di seluruh negara, termasuk Brunei dan Singapura.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam, berkata pihaknya mendapat maklum balas positif bukan saja daripada kalangan penonton tempatan, malah peminat filem seram dari kedua-dua negara jiran itu juga antara penyumbang terbesar kutipan, khususnya pada hari pertama tayangan.

"Tidak dinafikan, promosi dari mulut ke mulut antara faktor filem ini menjadi tarikan kepada penggemar karya genre seram. Boleh dikatakan, hampir semua penonton memberikan maklum balas positif terhadap garapan terbaharu Syamsul ini.

"Saya juga tidak menjangka, filem ini berjaya di Brunei dan Singapura. Peminat di sana menyukai elemen Islamik yang diterapkan dalam naskhah berkenaan. Lebih-lebih lagi Munafik terpelihara dari segi aurat yang tidak menyajikan adegan bersentuhan antara lelaki dan wanita," katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.

Tambah Yusof, Munafik, yang memilik jalan cerita agak rumit dan bijak memperdaya khalayak, berjaya menarik penonton baharu yang sebelum ini jarang ke pawagam.

"Kita juga mendapati ada antara penonton baharu yang mula ke pawagam selepas mendengar maklum balas positif mengenai filem ke-39 terbitan kami," katanya.

Lebih penting, menurut produser berkenaan, beliau mengharapkan penonton dapat menceduk sedikit ilmu bermanfaat daripada filem terbabit.


Trending

    Disyorkan