Khamis, 23 Oktober 2014 | 1:30pm
PELANGGAN kini lebih mudah untuk membuat tempahan, hanya dengan sentuhan satu butang, memesan makanan untuk dihantar ke alamat tertentu menggunakan aplikasi Slurp untuk pelanggan. - Foto ihsan getslurp.com

Ciri baharu Slurp mudahkan urusan tempahan, pengendalian restoran

KUALA LUMPUR: Silent Mode Sdn Bhd memperkenalkan ciri baharu untuk menyokong sistem penghantaran dan tempahan makanan menerusi 'point-of-sale' (POS) Slurp di peranti iPad serta aplikasi Slurp untuk pelanggan menerusi telefon pintar iOS atau Android.

Dengan pelancaran ciri baharu itu, pelanggan kini lebih mudah untuk membuat tempahan, hanya dengan sentuhan satu butang, memesan makanan untuk dihantar ke alamat tertentu menggunakan aplikasi Slurp untuk pelanggan.

Sementara pengusaha restoran pula boleh menggunakan ciri baharu itu sebagai saluran tunggal untuk menerima tempahan menerusi satu pemuka Slurp Central POS di iPad. Ciri baharu itu kini sedia untuk dimuat turun.

Menerusi ciri penghantaran makanan itu, pengguna Slurp tidak lagi perlu bimbang mengenai kesesakan trafik untuk perjalanan atau kesukaran mendapatkan parkir di restoran, sebaliknya boleh menikmati makanan daripada restoran kegemaran mereka di rumah.

Ciri penghantaran makanan berkenaan memberikan alternatif kepada pengusaha restoran untuk menguruskan kemasukan tempahan daripada pelbagai saluran sebelum ini, seperti telefon dan media sosial kepada satu saluran tunggal. Bagi pengusaha restoran yang belum menawarkan khidmat penghantaran, kini boleh menimbangkan untuk menawarkannya dengan memanfaatkan aplikasi Slurp.

Pengarah Silent Mode, Reza Razali, berkata sejak pelancaran Slurp awal tahun ini, banyak pengusaha restoran menyuarakan minat untuk mempunyai aplikasi bagi membantu mereka menguruskan tempahan penghantaran.

"Keadaan inilah yang mendorong kami menambah ciri baharu kepada sistem Slurp POS untuk menyokong penerimaan tempahan dari luar premis. Pada masa sama kami juga mahu memudahkan pengguna membuat tempahan penghantaran dengan menggunakan aplikasi Slurp di telefon pintar mereka.

"Ini adalah aplikasi menang-menang untuk pengusaha restoran dan pelanggan mereka," katanya.

Ketika ini aplikasi Slurp untuk pelanggan hanya boleh menghubungkan mereka dengan restoran atau premis makanan yang menggunakan sistem Slurp POS yang berasaskan perkomputeran awan.

Slurp adalah sistem tapak jualan (POS) yang ditawarkan kepada pengendali restoran di Malaysia. Slurp bertujuan membantu pengusaha mengendalikan perniagaan mereka dengan lebih baik. Pelayan tidak lagi perlu memindahkan tempahan pelanggan daripada helaian kertas kepada komputer kerana menerusi Slurp ia dilakukan secara elektronik daripada awal menggunakan iPad atau aplikasi telefon pintar.

Maklumat mengenai menu dan harga, kad perakam masa pekerja dan bil pelanggan umpamanya disimpan di tempat selamat secara awan dan boleh diakses pengguna bertauliah pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Antara ciri utama Slurp adalah Slurp Central, Slurp Cloud, aplikasi tempahan Slurp, aplikasi Waiter (pelayan) dan komponen perkakasan merangkumi iPad, tapak iPad, laci tunai dan pencetak resit.

Berita Harian X