Selasa, 30 Mei 2017 - 9:34AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ning, suami rancang ke Tanah Suci

Oleh Zaidi Mohamad



PENYANYI, Ning Baizura. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ning Baizura, dan suami, Omar Sharif Christopher Layton Dalton, merancang untuk mengerjakan umrah dua tahun lagi, sempena sedekad perkahwinan mereka.

Berkahwin dengan lelaki mualaf, Ning berkata dirinya amat bersyukur apabila Omar turut bersedia dan terbuka hati untuk sama-sama mengerjakan ibadat berkenaan bersama-samanya.

Menyambut ulang tahun kelapan perkahwinannya dengan lelaki terbabit pada 31 Januari lalu, Ning yang juga ibu kepada Ryan Sky Dalton, 3 tahun, memberitahu BH Online, memang menjadi impiannya untuk sama-sama ke Tanah Suci bersama suami tercinta.

"Dua tahun lagi tempoh yang ada bagi membuat persiapan untuk ke sana juga bererti usia perkahwinan kami genap 10 tahun. Ia cukup membahagiakan saya.

"Biasalah, dalam rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Bagaimanapun kami berusaha untuk terus mengukuhkan rumah tangga kami. Ia juga proses yang lebih mematangkan kami berdua. Insya-Allah, Tuhan akan membantu mereka yang tidak pernah berputus asa.

"Dialah cinta dunia akhirat saya. Sepanjang bergelar suami isteri, memang tiada gaduh-gaduh besar pun. Suami saya juga pernah berkahwin sebelum ini dan dia jenis lelaki yang 'cool'. Memang tidak ada masa hendak cemburu buta. Kami sangat menyokong di antara satu sama lain. Kehadiran anak pula memang melengkapkan lagi kebahagiaan kami," katanya.

Ning turut memberitahu, sebagai persediaan ke Tanah Suci, mereka berdua mendalami ilmu agama menerusi ustaz yang datang mengajar di rumah.

"Dua tahun ini juga menjadi ruang untuk saya dan suami memperbetulkan kelemahan yang ada, termasuk dalam bab agama," kata Ning.


Trending

    Disyorkan