Ahad, 3 April 2016 | 8:17pm

Sherry bertudung gembirakan ibu, ayah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sherry Ibrahim membuat keputusan untuk berhijab pada hari lahirnya yang ke-33, hari ini, bagi menggembirakan kedua-dua ibu dan bapanya.

Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim turut menyifatkan keputusannya itu juga adalah di luar jangkaan diri sendiri, pada masa sama penghijrahan terbabit memberikan ketenangan buatnya.

"Keputusan yang saya buat ini (berhijab) begitu singkat sebenarnya. Bersempena dengan hari lahir, saya mahu hadiahkan sesuatu yang sangat bermakna buat ibu dan ayah.

"Sebelum ini saya membayangkan untuk bertudung selepas berkahwin. Tetapi, saya rasa ibu dan ayah juga berhak mendapat rasa bahagia melihat anak mereka bertudung. Saya mahu menggembirakan mereka.

"Saya berasa sayu apabila tidak menyumbang sesuatu kepada mereka. Bayangkan, ibu hampir tidak mengenali saya ketika kami berjumpa dengan imej baharu ini. Saya dapat lihat perasaan gembira pada wajah mereka," katanya ketika dihubungi BH Online.

Sherry menerusi akaun Instagram miliknya memuat naik gambar imej baharunya itu bersama ibu dan ayah dengan meletakkan kapsyen: "Ini (berhijab) adalah untuk kamu berdua. Saya bersyukur kerana memiliki kamu semua sebagai ibu bapa yang lahir dan membesarkan saya dengan baik. Jasa papa dan mama takkan saya lupakan. Sayang kamu berdua."

Dalam pada itu, Sherry yang pernah popular dengan drama Teduhan Kasih berkata, sebelum ini beliau kerap mendengar beberapa ceramah agama dan ia juga antara sebab beliau berhijrah untuk menjadi wanita Muslimah yang baik.

Sementara itu, ditanya mengenai haluan kerjaya pula, kata Sherry, beliau enggan terlalu memikirkan mengenai perkara itu, namun tetap meneruskan aktiviti seni seperti biasa.

"Saya akan teruskan kerjaya seperti biasa. Cuma watak yang dipilih selepas ini mengikut kesesuaian imej.

"Cuma saya bakal muncul menerusi program Gempak Superstar tidak lama lagi dan saya tidak tahu bagaimana penerimaan pihak produksi memandangkan sesi fotografi untuk tujuan promosi sudah pun dibuat.

"Apapun, sekarang ini saya enggan lagi memikirkan perkara yang sudah berlalu. Dengan imej baharu ini, saya akan ke depan meneruskan kehidupan ke jalan Allah," ujarnya.

Berita Harian X