Khamis, 27 April 2017 - 7:20AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pemberian subsidi naikkan semangat penanam padi bukit

Mohd Izham Unnip



Padi bukit aktiviti tradisi masyarakat pedalaman Sabah. - Foto Lano Tan

Eilin Podok, 49, petani wanita berbangsa Dusun dari Kampung Logub, Kiulu, Sabah, hampir setiap tahun menanam padi bukit atau dalam bahasa Dusun disebut 'parai tidong' untuk menampung keperluan beras keluarganya.

Walaupun keluasan dan hasilnya tidak seberapa, Eilin bersama suami, Diris Lomboting, 54, tetap gigih mengusahakannya kerana bagi mereka menanam padi bukit adalah aktiviti tradisi yang menjadi sumber untuk menyara hidup.

Pasangan memiliki lapan anak itu tidak pernah mengeluh atau berasakan aktiviti berkenaan membebankan, malah gembira dapat mewarisinya daripada generasi terdahulu.

Mereka sedar, bukan mudah menanam padi bukit atau turut disebut 'mangasok' kerana semua kerja bermula daripada penyediaan tapak hingga penuaian menggunakan tenaga tulang empat kerat sepenuhnya.

Memerlukan kekuatan fizikal

Lebih membebankan, keadaan muka bumi yang bercerun curam turut memerlukan kekuatan fizikal petani, terutama apabila mengangkut guni padi balik ke rumah di kawasan yang tiada kemudahan jalan raya.

Berbanding padi sawah yang banyak dibantu penggunaan jentera di semua peringkat, selain diringankan dengan bantuan subsidi baja dan pembajakan, penanam padi bukit sebelum ini tidak menerima apa-apa bantuan.

"Tiada bantuan menanam padi bukit yang kami terima. Kalau ada bantuan, khususnya baja, racun serangga perosak dan subsidi penanaman dapatlah juga meringankan beban kami," kata Eilin mengulas nasib penanam padi bukit ketika ini.

Bagaimanapun, dalam pembentangan Bajet 2015, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemberian subsidi sebanyak RM70 juta untuk penanaman padi bukit di Sabah dan Sarawak.

Ia disifatkan sebagai berita gembira kepada penanam padi bukit di kedua-dua negeri itu kerana mulai tahun depan mereka bakal menerima bantuan atau subsidi.

Eilin turut menyifatkan berita itu sebagai hadiah yang bermakna kepada penanam padi bukit dan berharap ia dapat disalurkan segera demi menjaga kebajikan golongan berkenaan.

"Penat bah menanam padi bukit. Sebelum benih padi ditanam, kami kena tebang pokok, menebas belukar dan membersihkan tanah. Kena panjat bukit lagi, berjalan kaki jauh dari jalan raya untuk ke tapak penanaman.

"Apabila menuai, padi masih diketam satu-persatu kerana tiada jentera boleh digunakan untuk menuai padi di kawasan berbukit. Kalau ada bantuan, setidak-tidaknya dapatlah juga mengurangkan kepenatan kami," katanya.

Subsidi mampu tingkat hasil

Beliau berkata, pemberian subsidi juga dapat meningkatkan semangat penduduk untuk meluaskan lagi kawasan tanaman bagi meningkatkan hasil agar dapat dipasarkan untuk menambah pendapatan keluarga.

Ketika ini, katanya, penanaman padi bukit lebih untuk kegunaan sendiri selain dijual secara kecil-kecilan di tamu mingguan di Kiulu, Tamparuli, Tuaran atau Telipok.

"Beras bukit mahal kerana nasinya lebih enak dan harum berbanding beras biasa. Paling mahal ialah beras bukit berwarna hitam yang harganya RM20 sekilogram.

"Jika simpanan beras bukit semakin sedikit, saya jual beras bukit hitam di tamu dan duitnya saya gunakan untuk membeli beras biasa bagi menampung keperluan keluarga sementara menunggu padi bukit yang ditanam dapat dituai," katanya.

Ketika ini, Eilin berkata, kebanyakan masyarakat Dusun, khususnya sekitar Kiulu, Tamparuli dan Tuaran menanam tiga jenis padi bukit yang diwarisi daripada nenek moyang mereka iaitu 'tadong' yang berasnya berwarna hitam, 'sorongot' (merah) dan 'bandar' (putih).

Tahun ini, Eilin dan suaminya mengusahakan seekar atau kira-kira 0.4 hektar tanah untuk penanaman padi bukit, sama seperti keluasan pada tahun lalu.

Selepas dituai, tapak berkenaan ditanam dengan nanas dan tahun depan satu tapak baharu akan dibuka di kawasan bersebelahan untuk meneruskan tradisi menanam padi bukit.

Pengusaha padi bukit di Long Pasia, Andrew Laban, 45, berkata hampir 80 peratus penduduk kawasan itu terbabit dalam aktiviti pertanian termasuk padi bukit.


Eilin menunjukkan lingaman yang digunakan untuk menuai padi bukit.

Sehubungan itu, katanya, subsidi berkenaan mampu merancakkan aktiviti penanaman padi bukit kerana ia boleh digunakan untuk aktiviti pembersihan, membeli baja dan racun serangga.

"Lebih 2,000 penduduk dari Kampung Long Pasia, Long Mio, Maligan, Ulu Bol dan Kiburu terbabit dalam penanaman padi bukit. Pemberian subsidi itu juga menggalakkan orang muda untuk mengusahakannya," katanya yang juga bekas pemain bola sepak Sabah sekitar tahun 1990-an.

Keluasan tanaman padi bukit di Sabah

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Yahya Hussin, berkata berdasarkan perangkaan Jabatan Pertanian, keluasan tanaman padi bukit di Sabah ketika ini dianggarkan antara 7,000 hingga 11,000 hektar.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, berkata keluasan itu diusahakan kira-kira 15,000 petani dengan purata hasil antara 1.5 hingga dua tan sehektar setahun.

"Berdasarkan perangkaan itu, kita menganggarkan hasil tahunan padi bukit yang dikutip petani di Sabah adalah antara 10,500 tan hingga 22,000 tan setahun.

"Dengan adanya peruntukan subsidi untuk sektor penanaman padi bukit, kita berharap hasil yang dapat dikutip oleh petani di negeri ini akan terus bertambah sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran beras bagi menampung keperluan penduduk di Sabah," katanya.

Beliau berkata, bantuan yang julung kali diumumkan menerusi belanjawan negara itu adalah satu pengiktirafan kepada sektor penanaman padi bukit dalam membekalkan beras khususnya kepada penduduk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, galakan kerajaan dalam usaha membangunkan sektor penanaman padi bukit dan padi sawah mampu melonjakkan sektor penanaman padi agar dapat mengurangkan kebergantungan beras import.

Info: Padi bukit di Sabah

Penanaman bermula antara Jun hingga Julai dan mula dituai pada Disember hingga Januari.

Kawasan penanaman di lereng bukit dan kebanyakannya diusahakan di daerah pedalaman berbukit bukau.

Kebanyakannya diusahakan masyarakat Kadazandusun, Murut dan Lundayeh.

Pelbagai varieti ditanam, antaranya `tadong' yang berasnya berwarna hitam, `sorongot' (merah) dan `bandar' (putih).

Seekar atau 0.4 hektar kawasan padi bukit boleh menghasilkan 12 guni padi bersih atau kira-kira setengah tan.

Masalah utama padi bukit ialah serangan ulat daun dan burung pipit.

Keluasan tanaman padi bukit di Sabah ketika ini dianggarkan antara 7,000 hingga 11,000 hektar.

Kira-kira 15,000 petani terbabit dalam penanaman padi bukit di Sabah dengan purata hasil antara 1.5 hingga dua tan sehektar setahun.


Trending

    Disyorkan