Sabtu, 27 Mei 2017 - 12:30PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Amar Baharin kawan lepak lama saya - Ramona Zamzam

Zaidi Mohamad



Amar Baharin dan Ramona Zamzam sudah lama kenal.

KUALA LUMPUR: Sebelum ini nama Ramona Zamzam pernah terpalit dengan kisah kekasihnya dirampas seorang pelakon, namun itu hanya tinggal sebagai kisah lama.

Kini bekas kekasihnya dan pelakon berkenaan sudah pun mendirikan rumah tangga serta mengecapi kebahagiaan.

Sekitar Ogos lalu, nama Ramona sekali lagi dikaitkan sebagai orang ketiga dalam hubungan Dazrin Kamaruddin dan Amyra Rosli.

Hubungan pasangan itu tidak berakhir ke jinjang pelamin seperti yang dirancangkan.

Baru-baru ini, ketika berlangsungnya program Media Prima TV Networks Screenings, terbit pula cerita Ramona konon-kononnya mengganggu gugat hubungan Amar Baharin yang dikatakan intim dengan Izreen Azminda.

Keterangan gambar yang dimuat naik Ramona di laman Instagramnya juga seakan mengundang spekulasi, sekali gus kebencian terhadap mereka yang membenci beliau.

Keterangan gambar itu juga cukup sinikal dan mengundang pelbagai tanda tanya.

Ia berbunyi, 'relax, pergi event je. jangan ada kelab peminat datang attack cakap nak rampas bf/tunang/laki orang lagi okey? Amar Baharin is safe with me hahahaa.".

Untuk itu, ikuti penjelasan Ramona yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

"Amar memang dia sudah lama saya kenal. Dia antara kawan lepak saya sejak bertahun lalu. Malah dia pernah datang jemput dan hantar pulang saya ke rumah.

"Tapi sejak sekian lama tak berjumpa, kami bertemu semula ketika berlangsungnya Media Prima TV Networks Screenings.

"Itupun kami bertembung ketika dia nak pulang dan gerak ke kereta dan saya pula menghala ke tempat parkir kereta. Bermula dengan bertegur di tepi jalan, dia ajak saya masuk ke kereta untuk sambung bersembang. Ketika itu saya ambil kesempatan bergambar dengannya juga," katanya.


Amar Baharin dan Ramona Zamzam sudah lama kenal.

Bertanya lanjut mengenai keterangan gambar yang ditulisnya di gambar di laman Instagram itu, Ramona tidak mampu mengawal apa yang bermain di fikiran yang membacanya.

Baginya, setiap orang akan membuat kesimpulan yang selalunya condong ke arah negatif.

"Biarlah apa orang nak cakap. Tapi memang saya sudah lama berkawan dengannya. Itu baru lepak sekejap di dalam keretanya sedangkan sebelum ini saya sudah pernah naik keretanya untuk sama-sama melepak.

"Spekulasi orang itu biasalah. Sekurang-kurangnya saya tak hipokrit. Tiada apa yang salahnya pun. Kami hanya sekadar kawan. Yang selalu nak buat spekulasi ini bila tidak tahu perkara sebenar. Saya sudah lali dan biasa dengan keadaan ini.

"Nampaknya selepas ini saya tak boleh ada kawan lelaki dan lepak bersama. Agaknya kalau kawan lelaki dan perempuan ini tak boleh rapat gamaknya," katanya.

Ketika ini Ramona sibuk di lokasi penggambaran drama Embok Belum Terbakar arahan Arjin Uppal bagi siaran RTM.


Trending

    Disyorkan