Isnin, 26 Jun 2017 - 4:54PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Lelaki rosakkan patung kuil ditahan polis

Oleh Jalal Ali Abdul Rahim



KUIL Sree Muneeswarar Amman Kovil.

IPOH: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental kerana merosakkan sembilan patung di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil di Jalan Hospital di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata suspek berusia 29 tahun yang menaiki kereta PROTON Iriz memasuki kuil berkenaan pada jam 5.10 petang sebelum merosakkan patung dalam kuil berkenaan.

Beliau berkata, suspek melakukan perbuatan itu dengan parang dibawanya sebelum melarikan diri.

Katanya, ketika kejadian seorang sami berada di kuil berkenaan dan menyaksikan tindakan suspek.

"Polis yang menerima maklumat berjaya mengesan suspek tidak lama selepas kejadian selepas kereta dipandunya melalui Jalan Ghazali Jawi secara melawan arus sebelum kereta itu terbabas kerana melanggar perhentian bas.

"Suspek terus ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas bersama Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi, meninjau kerosakan di kuil berkenaan sebentar tadi.

Chang Keong berkata, selain rampasan bendera dengan tulisan Jawi, polis menemui parang dipercayai digunakan suspek untuk merosakkan patung.

"Kita akan reman suspek yang disyaki mempunyai masalah mental itu hari ini dan kami sedang urus untuk dia membuat pemeriksan perubatan.

"Polis menasihatkan orang awam supaya tidak menjadikan kejadian ini sebagai isu perkauman. Jika dia (suspek) betul-betul tidak siuman maknanya apa yang dibuat oleh dia sesuatu yang di luar kawalannya, bukan berniat untuk menghina mana-mana agama," katanya.

Ditanya sama ada suspek berkemungkinan ahli militan IS, Chang Keong berkata polis belum ada maklumat mengenainya dan akan menyiasat perkara itu.

Difahamkan, suspek bekas pelajar bidang perubatan dan pernah menuntut di Mesir.

Mengenai maklumat tersebar bahawa suspek anak kepada seorang bekas wakil rakyat di Perak, Chang Keong enggan mengesahkan atau menafikannya.

Sementara itu, kejadian berkenaan menimbulkan kemarahan segelintir penganut Hindu yang berkumpul di hadapan kuil itu hingga memaksa sekumpulan anggota polis dikerah bagi mengawal keadaan.


Trending

    Disyorkan