Jumaat, 28 April 2017 - 8:18PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Generasi Y tidak sesuai ikut acuan lama

Oleh Dr Mad Nasir Shamsudin


GAMBAR hiasan. Seisi pembelajaran generasi Y. - Foto Amir Irsyad Omar

BAGI mereka yang dilahirkan dalam zaman baby boomer tentunya masih teringat lagi kuliah dalam tahun 1970-an. Hadir kuliah adalah kepastian untuk mendapat ilmu kerana ilmu berada pada pensyarah. Pelajar hanya menyalin nota bahan syarahan. Bagi mereka yang cekap menyalin dan fokus semasa syarahan, nota mereka adalah lengkap dan sering dijadikan bahan rujukan pelajar lain. Begitulah cara pengajaran dan pembelajaran pada 1970-an.

Ramai dalam kalangan baby boomer kini yang masih bertugas dengan aktif sebagai pensyarah di institusi pengajian tinggi dan ramai juga menjadi penggubal dasar pendidikan negara. Mereka ini ditugaskan untuk mendidik generasi Y yang mempunyai personaliti berbeza antara baby boomer dengan generasi Y. Ketidaksepadanan akan berlaku sekiranya pendidik daripada baby boomer tidak memahami personaliti dan kehendak generasi Y.

Perbezaan personaliti

Banyak karya telah membincangkan mengenai perbezaan personaliti antara baby boomer dengan generasi Y. Secara amnya generasi Y adalah digital native yang dilahirkan dalam era ledakan maklumat, cepat jemu mendengar syarahan, gemar kepada bekerja dalam kumpulan dengan kecenderungan mendapatkan pengalaman guna tangan (hands-on), sentiasa terangsang untuk mencuba, suka belajar secara kreatif, interaktif, menyeronokkan dan gemar berfikir di luar kotak.

Baby boomer pula agak terasing kepada dunia digital kerana kebiasaannya mengekalkan gaya pembelajaran tradisional dalam pengajaran yang mana teknologi digunakan untuk penambahbaikan dan bukannya sebagai acuan. Kumpulan generasi Y mempunyai pengharapan yang berbeza terhadap gaya pembelajaran berbanding generasi sebelumnya.

Pemimpin dari segenap disiplin telah memberikan perhatian ke atas cabaran dan peluang berkaitan dengan latihan ke atas kumpulan generasi unik ini. Untuk memastikan kejayaan dalam pengajaran, pendidik perlu memahami hakikat bahawa generasi Y tidak boleh ditangani mengikut acuan generasi lalu. Kita juga perlu terus memahami keadaan generasi Y dan mengambil strategi pengajaran yang menjawab dan responsif kepada kehendak akademik mereka.

Pembelajaran moden

Menyedari hakikat ini dan untuk memastikan dapat menggapai pembelajaran yang efektif untuk generasi Y, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mengamalkan pembelajaran teradun di mana sebahagian daripada pengajaran dan penyampaian kandungan sesuatu kursus dilaksanakan secara dalam talian.

UPM mewujudkan 'Putra Learning Hub' yang mengandungi portal PutraBlast, PutraMOOC, PutraOCW, gamifikasi dan penilaian pengajaran atas talian. PutraBlast diperkenalkan untuk melaksanakan pembelajaran teradun di samping menyokong usaha UPM ke arah pembudayaan e-Pembelajaran yang lebih komprehensif.

Pembelajaran secara Atas Talian Terbuka dan Meluas (MOOC) melalui portal PutraMOOC membenarkan pelajar di serata dunia mendaftar dan belajar sesuatu kursus secara fleksibel. Contohnya kursus Pertanian dan Manusia yang ditawarkan oleh UPM dipelajari pelajar dari 24 negara.

Putra Open Courseware atau PutraOCW pula merupakan platform yang dibangunkan bertujuan untuk berkongsi e-kandungan kursus yang ditawarkan di UPM untuk komuniti global. Gamifikasi pula merupakan pendekatan yang menggunakan kaedah permainan seperti permainan video dalam proses pengajaran dan pembelajaran bertujuan untuk menjadikan proses pembelajaran ini menjadi lebih menarik, interaktif dan terlibat.

Natijahnya, tugas pensyarah telah beralih daripada memberi syarahan kepada pemudahcara pembelajaran, perubahan daripada pembelajaran berpusatkan pengajar kepada pembelajaran berpusatkan pelajar. Kuliah tidak sewajarnya lagi berbentuk satu hala daripada pensyarah kepada pelajar, tetapi kepada perbincangan dengan pelajar.

Dewan kuliah di mana kerusi dan meja disusun untuk membolehkan pelajar melihat pensyarah tidak lagi relevan. Sebaliknya, dewan kuliah mengandungi meja bulat yang menggalakkan interaksi antara pensyarah dengan pelajar dan dalam kalangan pelajar.


Trending

    Disyorkan