Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:03AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

ADIF, dana teroka RM100j rangsang pembangunan ekosistem digital Malaysia


KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) menubuhkan Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF) bernilai RM100 juta untuk syarikat teknologi tempatan, dengan 70 peratus akan diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.

Dana modal teroka digital itu adalah yang terbesar pernah dibentuk, bermatlamat menggalak dan merangsang inovasi serta pertumbuhan ekosistem digital di Malaysia.

Bagi fasa pertama, Axiata menyuntik RM50 juta ke dalam dana berkenaan dan MAVCAP pula sebanyak RM20 juta, manakala dalam fasa kedua sebanyak RM30 juta akan dijana pelabur prinsipal lain yang sedang dikenal pasti.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim, berkata pembentukan ADIF adalah sebahagian daripada agenda memperkasa ekonomi Bumiputera membabitkan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Kami menyasar memperuntukkan hingga 70 peratus ADIF kepada syarikat Bumiputera dan selebihnya dibuka kepada syarikat Malaysia yang lain," katanya selepas memeterai perjanjian pembentukan dana itu di sini hari ini.

Beliau memeterai perjanjian itu bagi pihak Axiata manakala MAVCAP diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Jamaludin Bujang.

Majlis pemeteraian perjanjian itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd merangkap Pengerusi Axiata, Tan Sri Azman Mokhtar.

ADIF dibuka kepada syarikat teknologi tempatan yang berada pada peringkat awal pertumbuhan dan memerlukan sokongan untuk meningkatkan skala produk serta pasaran.

Syarikat berkenaan mestilah terbabit dalam bidang perkhidmatan digital dalam sektor seperti perdagangan, kesihatan, pengiklanan, internet, perkhidmatan kewangan dan yang berkaitan.

Permohonan syarikat Bumiputera mestilah membabitkan pegangan saham sekurang-kurangnya 51 peratus Bumiputera.

Mengulas lanjut, Jamaludin Ibrahim berkata ADIF menyasar untuk mewujudkan lima hingga 10 peneraju utama serantau dalam perkhidmatan digital menjelang 2020.

MAVCAP akan bertindak sebagai pengurus dana ADIF bersama dua syarikat perkongsiannya, Teak Capital dan Questmark Capital.

Syarikat yang mendapat pembiayaan ADIF juga berpeluang mendapatkan akses membentuk kerjasama di peringkat serantau menerusi kehadiran Axiata di sembilan negara dengan pelanggan mencecah 258 juta orang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan (dari kiri) Pengerusi Kumpulan Axiata Berhad, Tan Sri Azman Mokhtar, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata, Datuk Seri Jamaludin Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly (kanan) selepas majlis menandatangani perjanjian antara Kumpulan Axiata Berhad (Axiata) dan Venture Capital Management Berhad (MAVCAP). - Foto BERNAMA

Trending

    Disyorkan