Isnin, 6 Jun 2016 | 5:21pm

9.6 juta rakyat Malaysia alami kolesterol tinggi


MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berucap pada majlis Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama Media di kementeriannya, Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati 9.6 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas mempunyai paras kolesterol yang tinggi dalam darah. 

Sementara itu, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, 94 peratus rakyat di negara ini tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi dalam setiap hidangan mereka. 

Jelas beliau, tinjauan NHMS turut mendapati kebanyakan golongan belia tidak mengambil berat mengenai kegiatan fizikal dan hanya memberi keutamaan pada aktiviti itu bila sudah meningkat usia. 

"Disebabkan tiada kesedaran diri, masyarakat lebih gemar menjalani gaya hidup kurang sihat dan ini menjadi salah satu faktor peningkatan ketara beberapa penyakit seperti diabetes, hipertensi dan paras kolesterol dalam darah. 

"Walaupun peratus bagi kegiatan fizikal meningkat, pada masa yang sama risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia turut meningkat.

"Peningkatan ini disebabkan hanya golongan berumur 40 hingga 59 tahun melakukan kegiatan fizikal manakala peratusan golongan berusia 18 tahun ke atas melakukan kegiatan fizikal masih rendah. 

"Kalangan umur 40 hingga 59 tahun ini kebanyakannya adalah mereka yang 'sudah menerima mesej' untuk bersenam apabila doktor menasihatkan mereka berbuat demikian kerana sudah dikesan mempunyai pelbagai penyakit," katanya ketika berucap pada majlis Yang Berhormat Menteri Kesihatan bersama Media di kementeriannya, di sini. 

Kajian NHMS dijalankan setiap 10 tahun sekali sejak 1986 hingga 2006 tetapi bagi mendapatkan data lebih terkini kekerapan kajian berkenaan dipertingkatkan kepada empat tahun sekali sejak 2011.

Secara umumnya, NHMS 2015 mendapati rakyat negara ini menunjukkan peningkatan ketara penyakit tidak berjangkit berbanding tahun sebelumnya dan lebih membimbangkan, kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui atau menghiraukan mengenai penyakit yang mereka hidapi. 

Jelas beliau, antara penyakit tidak berjangkit dan beberapa isu kesihatan berkaitan yang dipantau oleh NHMS 2015 termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, tabiat merokok, obesiti dan pengambilan alkohol. 

"Mengikut laporan NHMS 2015, saya dapati negara ini sedang menjurus untuk menjadi sebuah 'negara gemuk' kerana dianggarkan lebih 3.3 juta penduduk mengalami masalah berat badan. 

"Masalah berat badan ini bukan sahaja dialami oleh orang dewasa, sebaliknya laporan terkini menunjukkan masalah obesiti turut meningkat dengan ketara dalam kalangan kanak-kanak.

FAKTA NOMBOR 

10,000 - rumah dipilih secara rawak bagi pengumpulan data NHMS 2015

30,000 - responden pelbagai umur dalam NHMS 2015

3.5 juta - penduduk menghidap diabetes di negara ini  

1.8 juta - penduduk tidak mengetahui mereka menghidap diabetes 

3.3juta  - penduduk berumur 18 tahun ke atas mengalami obesiti 

1 juta   - kanak-kanak di negara ini mengalami masalah obesiti 

Berita Harian X