Khamis, 6 November 2014 | 6:54pm

Banjir di Cameron Highlands: Penduduk diminta akur arahan polis


KETUA Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintandan Wan Mohd Zahari Wan Busu dikerumuni pemberita pada sidang media selepas menangguhkan operasi pencarian mangsa banjir, hari ini. - Foto Muhaizan Yahya

KUANTAN: Penduduk di kawasan terlibat dengan banjir kilat serta tanah runtuh di Cameron Highlands diminta sentiasa akur dengan arahan polis untuk keselamatan diri dan keluarga mereka.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, polis sentiasa bersedia untuk membantu mangsa terlibat yang dilaporkan berlaku sejak malam tadi.

"Sehingga kini seramai 30 pegawai dan anggota polis terlibat dalam operasi tersebut dengan diketuai Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Wan Mohd Zahari Wan Busu.

"Setakat ini keadaan di sana dilaporkan masih terkawal dan bantuan daripada mana-mana Ibu Pejabat Polis Daerah lain masih belum diperlukan," katanya kepada pemberita selepas majlis pemakaian pangkat anggota di sini Khamis.

Beliau berkata, selain itu juga polis membuat pemantauan bersama pegawai daerah agar sentiasa bersedia jika masih terdapat perumahan sekitar yang dikhuatiri dalam keadaan berbahaya sekiranya hujan masih belum berhenti.

"Sekiranya rumah-rumah penduduk di situ didapati berbahaya, kita akan membuat pemindahan segera dan orang ramai harus akur dengan arahan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berulang," katanya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands lewat petang semalam setakt ini menyebabkan tiga orang maut dan lebih 100 penduduk terpaksa dipindahkan.

Sementara itu pada majlis tersebut, seramai 64 orang anggota berpangkat rendah di daerah Kuantan dinaikkan pangkat kepada sarjan dan turut menerima sijil penghargaan.

Katanya, semua anggota terlibat harus sentiasa bersedia memikul bebanan dan tanggungjawab yang disandang.

"Mereka mesti menunaikan segala amanah yang dipertanggungjawabkan itu dengan jujur dan ikhlas selain sentiasa mempertingkatkan presetasi kerja sepanjang perkhidmatan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X