Jumaat, 26 Mei 2017 - 9:01PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mydin buka pasar raya besar ke-21

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi



PENGARAH Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira Ameer Ali Mydin (empat dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif, Datuk Murad Ali Mydin (empat dari kanan) memotong riben sebagai simbolik Perasmian pembukaan hari pertama Mydin Senawang. - Foto Hazreen Mohamad

SEREMBAN: Pengendali rangkaian pasar raya besar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), mengembangkan rangkaian pasaran raya di negara ini dengan membuka cawangan terbaru di Senawang.

Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata sebanyak RM116 juta dilaburkan untuk pembukaan pasar raya ke-21 yang berkeluasan 155,067 meter persegi itu.

Katanya, pembukaan pasar raya itu amat dinantikan penduduk setempat kerana terletak di lokasi strategik, iaitu berhampiran kawasan perumahan dan lebuh raya.

"Saya yakin pembukaan pasar raya ini mampu merancakkan pertumbuhan sosio ekonomi di kawasan yang sedang membangun ini. Penduduk dan peniaga boleh mendapatkan bekalan barangan di Mydin setiap masa dengan harga borong," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pasaraya Mydin Senawang hari ini.

Ameer Ali berkata, pembukaan pasar raya itu mewujudkan sebanyak 500 peluang pekerjaan baharu di bahagian pasar raya dan pelbagai jawatan lain, sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran.

Pasaraya Mydin Senawang menyediakan medan selera, 518 lot tempat letak kereta, 40 lot kedai dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).


Trending

    Disyorkan