Ahad, 23 April 2017 - 1:34PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ezzaty elak jumpa tunang selama sebulan

Oleh Feride Hikmet Atak



EZZATY mengambil pendekatan untuk tidak berjumpa dengan Azwan selama sebulan sebelum mendirikan rumah tangga. - Foto Shiraz Ali

KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzaty Abdullah mengambil pendekatan untuk tidak berjumpa dengan tunangnya, Azwan Kombos, selama sebulan sebelum mendirikan rumah tangga pada 16 Julai depan.

Ezzaty, 26 berkata, beliau mengikut nasihat ibu dan neneknya untuk tidak berjumpa dengan bakal suami bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Kata orang, tidak elok berjumpa selalu ketika darah manis dan saya sendiri memang mahu mengelakkan kami daripada berjumpa pada saat-saat akhir sebelum dinikahkan.

"Maklumlah, macam-macam boleh jadi kalau jumpa selalu. Jadi, kami mahu elakkan sebarang perkara buruk yang boleh terjadi," katanya kepada BH Online.

Pasangan pelakon itu bakal bernikah pada bulan Syawal nanti di kediaman keluarga Ezzaty di Bentong, Pahang.

Majlis pernikahan akan berlangsung pada sebelah pagi, diikuti dengan majlis persandingan yang akan diadakan di Bentong, Pahang.

Keesokan harinya pula, majlis resepsi meraikan pernikahan mereka pula dilangsungkan di ibu kota. Majlis di sebelah pihak Azwan di Sabah pula masih dalam perbincangan.

Sementara itu, Ezzaty berkata beliau juga mendapat nasihat daripada ibu dan neneknya mengenai petua menjalani kehidupan rumah tangga dengan baik.

Kata pelakon drama Hello Mr Perfect itu, ilmu yang diperoleh perlu difahami dengan baik kerana ia cukup penting bagi menjana kebahagiaan rumah tangga.

"Saya rasa, apabila orang tua memberi nasihat mengenai tips perkahwinan, kita perlu mengambil ilmu itu dengan serius kerana mereka lebih tahu mengenai asam garam rumah tangga.

"Saya harap segala nasihat yang diberi dapat saya laksanakan dengan baik," ujarnya.


Trending

    Disyorkan