Jumaat, 23 Jun 2017 - 6:17PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

RISDA rancang tanam ketum untuk pasaran eksport

Oleh Faizul Azlan Razak



PENGERUSI RISDA Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin (tiga dari kiri) bersama Pengarah RISDA Negeri, Mohd Hussin Yusoff (kiri) melakukan perasmian pada majlis Konvensyen RISDA Negeri Terengganu 2016 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA NERUS: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mendapatkan kebenaran kerajaan menanam pokok ketum bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil di negara ini.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata pihaknya mendapat permintaan tinggi untuk mendapatkan bekalan ketum daripada farmasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

"Sehubungan itu, kami akan berbincang dengan kerajaan, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan yang membuat kajian di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membenarkan ketum ditanam bagi tujuan eksport.

"Jika diluluskan, kami merancang mengusahakan projek perintis di negeri utara Semenanjung sebelum dilaksanakan secara besar-besaran di seluruh negara.

"Projek ini jika dilaksanakan, dapat meningkatkan pendapatan berganda pekebun kecil yang selama ini hanya bergantung kepada hasil getah," katanya yang ditemui selepas Majlis Konvensyen GAP RISDA Negeri Terengganu 2016 di Auditorium Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi RISDA, Zainobon Ismail; Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran RISDA, Amran Jaafar dan Pengarah RISDA negeri, Mohd Hussin Yusoff.

Zahidi berkata, daun ketum mendapat permintaan tinggi di AS dan Eropah, terutama daripada syarikat farmasi tetapi Malaysia tidak mampu membekalkannya buat masa ini kerana penanaman daun ketum dilarang di negara ini.

"Ketum mempunyai nilai perubatan tinggi dan pihak AS serta Eropah tidak menghadapi sebarang masalah dengan daun ketum yang dianggap mempunyai khasiat.

"Cuma, di negara kita, pengambilan daun ketum dilarang undang-undang sehingga ia dianggap negatif oleh sesetengah orang kerana ada pihak sering menyalahgunakannya," katanya.

Zahidi berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada farmasi luar negara itu untuk memberi keyakinan kepada kerajaan membenarkan menanam ketum di negara ini.

Katanya, hasil kajian menunjukkan penggunaan ketum untuk perubatan dapat menstabilkan darah dan penyakit tertentu pada musim sejuk, sekali gus menyebabkan permintaannya tinggi.

"Hasil kajian dijalankan USM akan dikemukakan kepada kerajaan dalam masa terdekat," katanya.


Trending

    Disyorkan