Sabtu, 17 September 2016 | 4:00pm
Julihoslita menunjukkan kulit tangannya seperti berkudis akibat penyakit SLE. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Suri rumah hidap SLE mohon bantuan


Md Nazri bersama isteri Julihoslita serta dua anak mereka, Nur Izatul Balqis, 9, dan adiknya Nor Najla Zahra, 2. - Foto Noorazura Abdul Rahman

ALOR SETAR: Seorang suri rumah yang menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan terlantar sejak Januari lalu, memohon bantuan bagi meringankan beban ditanggung.

Julihoslita Johari, 34, disahkan menghidap penyakit itu sejak tiga tahun lalu, sekali gus menyukarkan suaminya, Md Nazri Azizan, 38, keluar bekerja bagi menyara mereka sekeluarga.

Ibu kepada dua anak itu juga mudah pitam manakala buah pinggang serta jantungnya rosak.

"Paru-paru dan hempedu saya dijangkiti kuman, menyebabkan kulit saya bertukar hitam," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Md Nazri yang menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA), mengakui kerap menolak penugasan bagi menjaga isteri dan dua anak berusia sembilan serta dua tahun.

Beliau tidak mempunyai sumber pendapatan kerana perlu berada di rumah menyediakan keperluan keluarga, termasuk susu khas untuk isteri dan menghantar anak ke sekolah.

"Sumber kewangan kami hanya bantuan Jabatan Zakat Kedah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi duit itu hanya cukup untuk membeli makanan asas, ubat tambahan serta susu khas yang mahal," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Md Nazri menerusi talian 010-5249194.

Berita Harian X