Selasa, 28 Mac 2017 - 12:10PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Penggodam letak gambar bonus palsu - CUEPACS

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman


KUALA LUMPUR: CUEPACS mengesahkan laman web rasmi kesatuan itu diceroboh pihak tidak bertanggungjawab petang semalam sehingga menyebabkan tersebar gambar menyatakan kononnya penjawat awam akan menerima bonus pada November ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata pihaknya kesal dengan pencerobohan laman web itu dan menganggap ia sebagai satu tindakan untuk melaga-lagakan CUEPACS dan kerajaan.

"Kami menyedari perkara itu petang semalam dan sudah meminta pengendali laman web membuang gambar berkenaan dengan segera tetapi ia begitu cepat tersebar. Ia adalah gambar palsu.

"Saya menganggap perbuatan ini sebagai satu usaha pihak tertentu yang mahu sabotaj kami untuk menggagalkan tuntutan bonus pada kerajaan. Ia juga bertujuan mencetus kemarahan kerajaan terhadap CUEPACS. Kami kesal dengan apa yang berlaku," katanya kepada BH, sebentar tadi.

Azih berkata, pihaknya tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana tidak mahu ia menjadi kes berpanjangan.

Katanya, CUEPACS hanya berharap tuntutan mereka agar diberikan bonus dua bulan gaji dipertimbangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kami meminta penjawat awam bersabar. Beri peluang kepada Perdana Menteri membentangkan keputusannya pada Bajet 2017 pada 21 September ini.

"Kita yakin Perdana Menteri memahami masalah dihadapi penjawat awam dan permintaan kami itu tidak begitu keterlaluan. Kami fikir kerajaan berkemampuan memenuhi tuntutan CUEPACS," katanya.


Trending

    Disyorkan