Sabtu, 27 Mei 2017 - 10:02PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Ajaran sesat masih wujud di Terengganu

Oleh Faizul Azlan Razak



PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib. -Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengakui aktiviti berdepan kesukaran menghapuskan aktiviti ajaran sesat yang masih terdapat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib, berkata pihaknya mendapati aktiviti tidak sihat dan bertentangan dengan ajaran Islam itu berlaku secara sulit sehingga sukar untuk dikesan.

Beliau berkata, bahagian penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sering melakukan pemantauan dan serbuan, namun kumpulan ajaran sesat didapati mudah menghidu kehadiran pihak berkuasa.

"Kita tidak nafikan masih ada aktiviti ajaran sesat di negeri ini, tetapi ia berlaku dalam skala kecil. Kita akui untuk menghapuskan aktiviti ajaran sesat ini 100 peratus memang sukar," katanya selepas merasmikan Majlis Liqa' Mahabbah 2016 Mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu bersama Penjawat Awam di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda dan Pesuruhjaya JHEAT.

Ditanya mengenai ancaman militan Daesh di negeri ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata, pihaknya melakukan pemantauan secara rapi di semua institusi pengajian tinggi milik kerajaan atau swasta serta sekolah pondok yang ada di Terengganu.

Katanya, pihaknya sering membuat perbincangan dan pemantauan dengan jawatankuasa agama negeri, daerah termasuk keselamatan negeri untuk mengatasi masalah itu sekiranya berlaku.

"Setakat ini kita akui hasil pemantauan yang dilakukan, ada tindakan sudah diambil, namun kita tidak boleh mendedahkannya atas faktor keselamatan," katanya.


Lagi Berita:

Trending

    Disyorkan