Selasa, 25 April 2017 - 10:40PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Zed Zaidi terima pingat KMN

Oleh Feride Hikmet Atak



Pelakon Zed Zaidi menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN).

KUALA LUMPUR: Pelakon, Zed Zaidi, menerima pingat Kesatria Mangku Negara (KMN) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016, bersempena hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang disambut pada 4 Jun lalu.

Zed atau nama penuhnya Rozaidi Abdul Jamil ialah seorang daripada senarai 261 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2016 pada istiadat yang berlangsung di Istana Negara.

Presiden Persatuan Seniman itu berkata, pengiktirafan itu menunjukkan beliau seorang yang serius dalam menjalani aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) terutamanya dalam memperjuangkan hak seniman tempatan.

"Ia pengiktirafan yang tidak disangka-sangka dan saya menerimanya dengan penuh hormat. Ia juga penghargaan yang tidak ternilai selepas berhempas-pulas memperjuangkan seniman tempatan kita.

"Kiranya, penghargaan yang diterima ini berbaloi juga dengan apa yang diusahakan. Walaupun usaha itu tidaklah sebesar mana, namun ia tetap dilihat umum," katanya kepada BH Online.

Sementara itu, kata Zed, penganugerahan yang diterima juga memberi semangat kepada beliau sekali gus memudahkan lagi usaha memperjuangkan hak-hak penggiat seni negara.

"Apabila kita diiktiraf, ia sedikit sebanyak memudahkan kita sebagai aktivis NGO. Keyakinan pihak luar lebih tinggi kerana mereka mempercayai kredibiliti dan kemampuan kita.

"Selain itu, segala urusan berkaitan dengan kerjasama kerajaan juga lebih mudah, insya-Allah," katanya sambil berkata, beliau juga sudah lali seandainya ada pihak yang mempertikaikan anugerah diterimanya.


Trending

    Disyorkan