Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:13AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Pelaburan 2 syarikat China lonjak Melaka Gateway

Oleh Nurul Fhatihah Zakinan



Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (tiga dari kiri), Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (tiga dari kanan) dan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang (dua dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada majlis peletakan batu asas Pelabuhan Melaka Gateway di Pulau Melaka. - Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Projek pembangunan pelabuhan laut dalam di Melaka Gateway, Pulau Melaka yang membabitkan dua syarikat pelabuhan terbesar China dengan nilai pelaburan RM8 bilion, mampu menarik banyak kapal ke Melaka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kerajaan optimis terhadap projek dijalankan dua syarikat itu yang membangunkan kemudahan lengkap membaik pulih kapal, terminal kontena dan pukal serta taman perindustrian maritim itu.

Dua syarikat itu adalah Rizhao Port Group Co Ltd (Rizhao) dan Shenzen Yantian Port Group Co Ltd (Yantian).

Katanya, hampir 80 peratus atau 80,000 daripada 100,000 kapal besar berlayar melalui Selat Melaka adalah dari China dan pembinaan pelabuhan itu dijangka dapat menarik lebih banyak syarikat perkapalan dari negara republik berkenaan singgah ke pelabuhan terbabit.

"Ini kejayaan penting bagi negara apabila dua syarikat terbesar China yang juga antara 10 syarikat pelabuhan terbesar dunia membangunkan pelabuhan laut dalam di Melaka.

"Justeru, Kementerian Pengangkutan memberi sokongan penuh dan kita turut membesarkan had keluasan kawasan pelabuhan sedia ada bagi memberi ruang kepada kapal besar ke pelabuhan Pulau Panjang yang terletak di Melaka Gateway," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis peletakan batu asas Pelabuhan Pulau Panjang di Melaka Gateway di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan Duta China ke Malaysia, Dr Huang Huikang.

Tiong Lai berkata, pelabuhan yang bakal siap menjelang tahun 2019 itu juga bakal melipatgandakan ekonomi Melaka dan negara, selain membantu dari segi kemudahan yang tiada di pelabuhan lain dalam negara seperti di Pelabuhan Klang, Selangor dan Tanjung Pelepas, Johor.


Trending

    Disyorkan