Isnin, 23 Januari 2017 - 6:16AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Julia Ziegler akhiri zaman solo awal tahun depan

Oleh Zaidi Mohamad



SHAH ALAM 22 SEPTEMBER 2016. (UTK METRO SHJ) Pelakon, Julia Ziegler pada borak lokasi Drama Abang Bomba I Love You di Shah Alam. NSTP/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali mengalami kekecewaan dalam percintaan, kini pelakon Julia Ziegler, 32, sedang diulit bahagia bersama jurutera mekanikal dikenali sebagai Johan, sejak setahun lalu.

Bahkan, ketika ini Julia dan lelaki berusia 33 tahun berkenaan berdebar menanti hari bahagia mereka yang dijadualkan berlangsung pada awal 2017.

Bintang Jangan Tegur itu ketika bercakap kepada BH Online memberitahu, beliau dan buah hatinya juga sudah pun menghadiri kursus perkahwinan, baru-baru ini.

"Persiapan perkahwinan kami sebenarnya sudah pun dimulakan sejak Jun lalu dan kini ia hampir sempurna dilakukan. Apa yang tinggal kini hanyalah cendera hati untuk tetamu, yang kebanyakannya kami hasilkan sendiri.

"Pada masa sama, saya ligat membantu keluarga melakukan persiapan kahwin adik saya, Melissa, yang akan menaiki pelamin bulan depan," katanya.

Kata bintang kacukan itu, majlis perkahwinannya nanti bukanlah diadakan dalam skala besar-besaran.

"Majlis kahwin saya cukup ringkas dan sederhana. Paling penting ialah acara wajib, iaitu akad nikah, berlangsung dalam suasana yang sempurna.

"Dalam membuat persiapan majlis bersejarah kami, saya juga harus mengambil kira permintaan keluarga dan bakal mentua," katanya.

Mengenai bakal suaminya, yang juga berdarah campuran sepertinya, Julia atau nama penuhnya Julia Bob Fauzi Ziegler menyifatkan lelaki itu hampir sempurna untuk dirinya.

"Beliau lelaki yang satu kepala dengan saya dan antara kami pula memang cepat serasi. Mungkin kerana masing-masing berdarah campuran dan berfikiran terbuka, jadi senang untuk kami saling memahami.

"Saya percaya, beliau ialah jodoh terbaik untuk saya dan beliau memang membuatkan saya amat gembira saat ini. Muka kami pun hampir sama, sehinggakan ada yang menyangka beliau abang saya," kata Julia sambil memberitahu, Johan banyak mengubah kehidupannya sejak mereka saling mengenali.

Mengakui sudah lama bersedia untuk bergelar isteri, pelakon ini mendedahkan, jika mengikut kemahuan hati pada tahun ini juga beliau mahu mengubah status diri.

Menyentuh soal kerjaya, Julia ketika ini sedang menyudahkan baki penggambaran drama bersiri 26 episod, Selamat Malam Tan Sri, arahan Raja Mukhriz.

Dalam drama berkenaan, beliau memegang watak isteri kedua seorang lelaki bergelar Tan Sri. Ia turut dibintangi Haliza Misbun dan Datuk Eizlan Yusof.