Selasa, 25 April 2017 - 10:48PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Hubungan Malaysia-China terus mesra

Oleh Huang Huikang



GAMBAR fail, Datuk Seri Najib Razak bersalam bersama Presiden Xi Jinping di Beijing pada November, 2014. - Foto www.news.cn

Pada musim luruh berwarna keemasan ini, Beijing sekali lagi mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak. Sebagai duta China, saya amat berbesar hati menyaksikan detik bersejarah dalam hubungan dua hala sekali lagi.

Persahabatan di antara China dan Malaysia sememangnya bersejarah panjang. Ketika Dinasti Tang, 'Master Yijing' sudah mengunjungi Tanah Melayu 700 tahun lebih awal, mengikut catatan sejarah Malaysia.

Pada Dinasti Ming, lima daripada tujuh pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Samudra Barat juga berlabuh di Melaka.

Pelayaran ini mengukuhkan persaudaraan antara rakyat dari dua negara, mengekalkan keamanan dan kemakmuran ke kawasan sekitar selama seratus tahun dan juga membawa kepada kewujudan kumpulan etnik unik iaitu Baba dan nyonya.

Secara turun-menurun, orang China yang berhijrah ke Malaysia hidup bersama dengan orang tempatan dalam suasana harmoni, saling menghormati dan berkongsi kemakmuran.

Tradisi budaya Cina juga terikat dengan perkembangan sejarah Malaysia.

Pada awal revolusi, Dr Sun Yat-sen mendapat banyak bantuan dan derma apabila mengunjungi Tanah Melayu.

Tahun ini, banyak pihak di Malaysia turut meraikan ulang tahun kelahiran ke-150 Sun Yat-sen dengan meriah dan sekali lagi menunjukkan persahabatan mendalam di antara China dan Malaysia.

Kira-kira 42 tahun lalu, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein, adalah pemimpin pertama ASEAN melawat negara China dan menjalin hubungan diplomatik ketika Perang Dingin.

Buka lebaran baharu

Kunjungan ini membuka lembaran baharu dalam sejarah kedua-dua negara. Hubungan China-Malaysia sekarang bukan sahaja tempoh terbaik dalam sejarah, tetapi juga terus menjadi peneraju hubungan di antara China dan ASEAN.

Ketika melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 2013, Presiden China, Xi Jinping bersama dengan Najib, bersetuju meningkatkan hubungan kedua-dua negara sebagai 'Hubungan Mitra Strategik Menyeluruh.'

Pada 2014, Najib sekali lagi melakukan lawatan rasmi ke China selepas 2009. Bersama Perdana Menteri China, Li Keqiang, beliau menandatangani Kenyataan Bersama Ulang Tahun ke-40 Hubungan Diplomatik China-Malaysia di Dewan Besar Rakyat, tempat Kenyataan Bersama Terjalinnya Hubungan Diplomatik ditandatangani Tun Abdul Razak.

Pemimpin kedua-dua negara menyifatkan hubungan yang berhasil itu sebagai '40 tahun emas', dan bersetuju menyempurnakan hubungan itu menjadi '40 tahun berlian' yang lebih cemerlang dalam empat dekad seterusnya. China dan Malaysia adalah jiran yang berhubung erat dan rakan yang saling mempercayai.

Pembangunan hubungan China-Malaysia mendapat manfaat daripada sokongan berterusan kedua-dua kerajaan dan rakyat.

Rakan dagangan terbesar

Kebelakangan ini, jumlah perdagangan dua hala China dan Malaysia kekal pada skala AS$100 bilion (RM420 bilion).

China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut, manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar dalam kalangan negara ASEAN bagi China selama lapan tahun berturut-turut.

Penduduk kedua-dua negara juga selalu kunjung-mengunjungi, dengan jumlahnya lebih tiga juta pelancong dicatat setiap tahun. Ketika proses inisiatif 'One Belt One Road' dan kerjasama kapasiti antarabangsa digalakkan, Malaysia mendahului negara lain dari segi tindak balas.

Penyertaan aktif Malaysia menyuntik tenaga baru dalam kerjasama dua hala untuk manfaat kedua-dua pihak.

Sejak dua tahun lalu, pelaburan China di Malaysia mencatat pertumbuhan pesat dengan sebilangan projek pelaburan berskala besar dan ibu pejabat serantau perusahaan China bertempat di Malaysia.

Semakin ramai ahli perniagaan Malaysia melabur di China untuk membantu melebarkan dan memperluaskan pasaran. Beijing dan Kuala Lumpur dianggap sebagai destinasi pertukaran mata wang tempatan dengan bank penjelasan RMB ditubuhkan di Malaysia memudahkan kedua-dua negara dalam urusan perdagangan dan kerjasama pelaburan.

Selain itu, komunikasi, membeli-belah melalui internet, pertanian, pelancongan, ekonomi hijau dan sebagainya sudah menjadi bidang menarik untuk kerjasama antara kedua-dua pihak.

China dan Malaysia mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan. Walaupun ada perbezaan pendirian dalam isu Laut China Selatan, kedua-dua pihak mendukung prinsip berunding secara aman, berusaha untuk mendapatkan pengendalian sesuai dan berkesan memastikan ketenangan persekitaran laut.

Dalam tempoh tiga tahun memegang jawatan, saya menjalinkan hubungan erat dengan semua golongan masyarakat Malaysia.

Kita menyaksikan sedikit demi sedikit kemajuan hubungan dua hala dan amat dirasai keinginan rakyat kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama persefahaman.

Seperti panda Nuan bermaksud 'mesra,' yang lahir di Kuala Lumpur dan dinamakan rakyat Malaysia, persahabatan mesra di antara China dan Malaysia dirasai di dalam hati semua orang.

Lawatan ini adalah kali yang ketujuh oleh Najib ke China. Saya amat yakin lawatan ini pasti akan membawa 'Hubungan Mitra Strategik Menyeluruh' China-Malaysia kepada tahap baharu dan mendatangkan pencapaian yang lebih cemerlang pada masa depan.

Penulis adalah Duta China ke Malaysia

KERATAN akhbar.

Trending

    Disyorkan