Jumaat, 23 Jun 2017 - 6:23PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kuala Lumpur Literary Festival tampilkan keseimbangan masa

Oleh Siti Haliza Yusop



Datuk Zaiton Ajmain (kanan) merasmikan buku oleh Penulis, Siti Ruqaiyah Hashim (kiri) pada Kuala Lumpur Literary Festival yang diadakan di Art Printing Works, Bangsar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Literary Festival (KLLF) 2016 yang berlangsung di Art Printing Works, Jalan Riong di sini, bermula hari ini, tidak setakat membawa nilai suara yang relevan dengan zaman ini, bahkan turut memuatkan elemen nostalgia termasuk melalui persembahan sajak era 1970-an.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar, berkata pengisian dari era berbeza itu turut memuatkan suara antarabangsa bagi memastikan ia tidak menyendiri dari realiti globalisasi.

"PKB melihat aspek sastera memerlukan suara dan pembelaan. Selain mengimbau sejarah 'pertemuan dua sungai' melalui nilai suara pada zaman kini dan era terdahulu, kami juga memastikannya digabungkan dengan citra yang lebih bersifat global.

"Kami mencari keseimbangan itu yang kemudian dihidangkan untuk edisi KLLF 2016 ini," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sayed Munawar berkata, penganjuran KLLF 2016 bukan setakat bermatlamat untuk menjadi hab dunia buku serantau terutamanya apabila siapnya Kompleks Kota Buku di tengah ibu kota, bahkan lebih penting menghidupkan semula sesuatu yang pernah tumbuh dan kini perlu disegarkan kembali.

"Semangat dan roh 'hutan bukan pokok dan kota bukan batu' menjadi inti sebenar acara ini yang perlu dipupuk secara bersama.

"Wajah KLLF selepas ini akan ditentukan oleh mereka yang meraikan dan merasakan KLLF sebagai acara mereka. PKB hanya penyedia lapangan sehingga inti sebenar lapangan itu perlu diacu bersama pencinta sastera tanah air," katanya.

KLLF 2016 yang berlangsung selama tiga hari itu, akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh.

Selain pengarang dan pengkaji sastera tempatan termasuk, Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim, Latiff Mohidin dan Zainal Rashid Ahmad, KLLF 2016 akan turut menampilkan penyair tersohor dunia termasuk Marzanna Kielar dari Poland; Nikola Madzirov (Macedonia); Sapardi Djoko Damono (Indonesia) dan Carlomar Arcangel Daoana (Filipina) serta pengarang terkemuka dari Jerman, Michael Kleeberg.

Antara acara yang mengisi KLLF 2016 ialah sesi bersama pengarang mapan dan muda tanah air seperti Zainal Rashid Ahmad dengan judul Dari Hippies Ke Pengarang pada jam 11 pagi esok, manakala jam 4.30 petang pula, Wan Nor Azriq berbicara bersama penulis muda Indonesia, Aan Mansyur dengan tajuk Tiada Lagi Romantisme Hari Ini.

Pada Ahad pula, Penerima Anugerah SEA Write, Malim Ghozali Pk dan penyair serta pensyarah, Dr Lim Kim Hui pula akan tampil pada sesi bertajuk Memandang ke Luar Jendela, jam 11 pagi yang disambung sesi bersama pengarang muda, Saharil Hasrin Sanin, Sri Rahayu Yusop dan Muhammad Lutfi Ishak (Pergelutan Luar Arus).

Pada petang pula, sesi kupasan sejarah Kuala Lumpur menampilkan Tan Sri Prof Dr Khoo Kay Kim dan Lee Chee Kien yang diikuti pembacaan dramatik Halic, iaitu karya sasterawan agung Jerman, Johann Wolfgang von Goethe yang diterjemahkan oleh Latiff Mohidin ke bahasa Melayu serta dipersembahkan oleh Carlomar Daoana, Noor Azam Shairi, Hafiz Hamzah, Jimadie Shah Othman dan Shaira Amira.

KLLF 2016 turut menampilkan acara baca puisi, persembahan busking, pelancaran dan jualan buku serta bengkel, sekali gus mempertemukan penulis dan pembaca.

Penulis, Siti Ruqaiyah Hashim pada Kuala Lumpur Literary Festival yang diadakan di Art Printing Works, Bangsar. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Trending

    Disyorkan