Sabtu, 12 November 2016 | 12:24pm

Ringgit dijangka diniaga rendah minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan rendah minggu depan mencecah paras 4.30 berbanding dolar AS berikutan jangkaan tinggi yang Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan kadar faedah pada Disember, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden FXTM bagi Penyelidikan Pasaran, Jameel Ahmad berkata reaksi pasaran selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) telah meningkatkan keyakinan umum yang Fed mungkin akan menaikkan kadar faedah AS bulan depan.

"Hampir semua orang terkejut dengan reaksi pasaran kewangan di seluruh dunia dalam beberapa hari lalu.

"Nampaknya satu-satunya ramalan yang tepat berlaku adalah kemenangan Trump dalam pilihan raya AS akan menjejaskan mata wang pasaran sedang pesat membangun," katanya kepada Bernama.

Jameel berkata ringgit dijangka mencecah paras 4.30 berbanding dolar AS sekali lagi sekiranya mata wang negara sedang pesat membangun dijual dengan pantas.

Menurut laporan agensi-agensi berita, kontrak hadapan (NDF) sebulan ringgit atau kadar luar pesisir turun kepada 4.5280 berbanding dolar AS pada Jumaat.

Bank Negara Malaysia, dalam satu kenyataan berkata ia akan mengambil langkah bagi memastikan pasaran pertukaran asing tidak meletakkan harga ringgit berlebihan dan tidak sejajar, di samping menyediakan mudah tunai yang perlu.

Affin Hwang Asset Management berkata ringgit dan mata wang negara sedang pesat membangun lain akan terus lemah berbanding dolar AS pada masa hadapan, ketika pasaran memantau dan memerhati ucapan dan tindakan Trump.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, ringgit turun kepada 4.2800/2900 berbanding dolar AS daripada 4.1970/1020 pada Jumaat lepas tetapi ditutup bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding yen kepada 4.0199/0308 pada Jumaat lepas daripada 4.0759/0820 tetapi turun berbanding dolar Singapura kepada 3.0372/0458 daripada 3.0288/0333 minggu sebelumnya.

Unit tempatan naik kepada 4.6519/6632 berbanding euro daripada 4.6583/6642 pada Jumaat minggu sebelumnya tetapi turun berbanding pound British kepada 5.4168/4299 daripada 5.2370/2445. - BERNAMA

Berita Harian X