Selasa, 25 April 2017 - 10:44PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Had hukuman, jenis kesalahan antara pindaan RUU 355

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman; Hazwan Faisal Mohamad dan Luqman Arif Abdul Karim



DATUK Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR: Had hukuman dan jenis kesalahan adalah antara pindaan yang akan dilaksanakan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata pembentangan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat akan dilakukan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang, esok.

Mohd Khairuddin turut menyuarakan keyakinan RUU itu akan dibahas dan melalui proses pengundian pada hari yang sama sebelum persidangan Dewan Rakyat 2016 melabuhkan tirainya, Khamis ini.

"Beberapa pindaan diusulkan pada pertemuan dihadiri Ahli Parlimen Islam di bilik taklimat tempoh hari (semalam), malah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri) Jamil Khir (Baharom) pun meminta supaya RUU ini ditambah baik.

"Secara dasar, semua Ahli Parlimen yang menghadiri mesyuarat itu setuju supaya bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu diperkasakan, namun perlu peruntukan had hukuman," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Hadi mencadangkan satu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) Pindaan 2016 untuk menggantikan Seksyen 2 dengan peruntukan baharu.

Ia merangkumi langkah memperuntukkan kuasa kepada Mahkamah Syariah terhadap rakyat Islam dan dalam hal kesalahan yang termaktub pada Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan, Undang-undang Persekutuan.

Selain itu, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan sebarang hukuman yang dibenarkan undang-undang Syariah selain mati.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata antara pindaan yang akan dilakukan adalah memperuntukkan tempoh penjara tiga tahun hingga 30 tahun, denda RM5,000 hingga RM100,000 dan enam hingga 100 sebatan.


Trending

    Disyorkan