Khamis, 25 Mei 2017 - 1:36AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Kepala kemaluan budak lelaki terpotong ketika berkhatan

Oleh Safeek Affendy Razali



BAPA mangsa membawa anaknya ke PPUKM, Cheras, sebelum disarankan untuk menjalani rawatan penyambungan semula di HKL. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki mungkin terpaksa menanggung kecacatan pada zakar sepanjang hidup selepas bahagian kepala kemaluannya terpotong ketika berkhatan menggunakan kaedah laser.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam pada 20 Disember lalu, mangsa yang berusia 10 tahun dibawa bapanya untuk berkhatan di sebuah klinik keluarga di Cheras, di sini.

Bagaimanapun, ketika sedang menjalani proses berkhatan, doktor memberitahu bapa mangsa, kepala kemaluan kanak-kanak itu telah terpotong secara tidak sengaja.

Bapa mangsa yang juga seorang guru sebuah sekolah menengah kemudian membawa anaknya ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras, sebelum disarankan untuk menjalani rawatan penyambungan semula di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Selepas menjalani rawatan, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kecuaian yang dilakukan doktor terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan, berkata siasatan berhubung kejadian itu kini dijalankan dilakukan mengikut Seksyen 338 Kanun keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi polis sudah merakam percakapan beberapa saksi termasuk doktor itu.

"Setakat ini siasatan dilakukan merangkumi elemen menyebabkan cedera parah sama ada secara gopoh atau cuai dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Katanya, sekiranya didapati bersalah, doktor itu boleh dihukum penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.


Trending

    Disyorkan