Isnin, 23 Januari 2017 - 6:35AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Lagu Fattah Amin teratas di carta iTunes Malaysia

Oleh Feride Hikmet Atak



Single kedua Fattah berjudul Wanita Terakhir berada di kedudukan pertama carta iTunes Malaysia.

KUALA LUMPUR: Single baharu Fattah Amin, Wanita Terakhir, bukan sekadar 'trending' di laman sosial, malah berjaya menduduki kedudukan teratas carta iTunes Malaysia.

Lagu ciptaan Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Anas Amdan itu dilancarkan pada Ahad lalu.

Menurut pelakon dan penyanyi itu, beliau tidak menyangka lagu berkenaan terus mendapat tempat sehingga mengalahkan karya lain di carta muzik terbabit.

"Jujurnya saya sangat terkejut kerana lagu itu belum pun dilancarkan secara rasmi. Ia hingga kini hanya dikeluarkan di laman iTunes dan Spotify.

"Alhamdulillah, ia berita gembira buat saya dan terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Fattah berkata demikian menerusi video Facebook Live yang disiarkan di Facebooknya, semalam. Aktor itu kini sedang bercuti di Amsterdam, Belanda.

Sementara itu, berkongsi mengenai Wanita Terakhir, lagu berkenaan ditujukan buat 'si dia' iaitu Neelofa.

Katanya, apabila Aizat menawarkan diri untuk menghasilkan lagu, beliau meminta penyanyi dan komposer itu menyediakan karya yang mengisahkan 'perhubungan' dirinya dengan Neelofa. Apatah lagi peminat sendiri sudah mewujudkan tanda pagar #Lofattah bagi berkongsi perkembangan mereka berdua.


Fattah Amin kini sedang bercuti di Amsterdam.

"Saya lihat peminat memang seronok dengan cerita-cerita kami meskipun drama Surihati Mr Pilot sudah lama tamat siarannya. Peminat masih mengikuti perkembangan kami dan kami berasa sangat dihargai.

"Memandangkan peminat masih mahu kami melakukan sesuatu, saya fikir, apa salahnya kita keluar dengan idea ini (muncul dengan lagu baru)," ujarnya.

Dalam pada itu, Fattah turut mengakui lagu berkenaan sememangnya ditujukan kepada Neelofa.

"Lagu ini sebenarnya untuk si dia. Si dia yang selalu buatkan saya dekat dengan telefon saya. Dan, kadang-kala buatkan saya tersenyum seorang diri. Anda pasti perasaan dengan perkara ini bukan? Dan anda tahu siapa yang saya maksudkan.

"Maka saya ceritakan kepada Aizat yang saya mahu lagu berkaitan dengan si dia dan beritahu apa perasaan saya terhadapnya," katanya.