Jumaat, 6 Januari 2017 | 7:38am
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berucap ketika Ceramah Perdana di Tapak Pasar Malam Talang, Kuala Kangsar semalam. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berucap ketika Ceramah Perdana di Tapak Pasar Malam Talang, Kuala Kangsar semalam. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

PAS bincang kerjasama hadapi pilihan raya


RAZMAN Zakaria.- Foto Yahya Zainuddin

KUALA KANGSAR: Jawatankuasa PAS Pusat akan bermesyuarat tengah bulan ini bagi membincangkan kerjasama dengan pihak berminat bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, bagaimanapun dalam kerjasama dengan pihak yang berminat itu, PAS akan tetap mengambil kira Islam sebagai asas keutamaan sebagaimana menjadi ideologi parti.

"Kita (PAS) kita boleh berbincang dengan sesiapa saja untuk perkuatkan blok ketiga dengan syarat ia mesti dipimpin oleh Islam.

"Kita tak boleh lepaskan (membiarkan pihak lain mendominasi) kerana nanti dia akan tukar habis semuanya seperti yang pernah berlaku sebelum ini, jadi PAS kena jaga dan kubu dengan keadilan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana PAS bersama Mursyidul Am di Tapak Pasar Malam Kampung Talang di sini malam tadi.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Yang Dipertua PAS Kuala Kangsar, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Hashim berkata, kekuatan blok ketiga itu bukan perkara baharu malah ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW ketika Islam berdepan dengan kekuatan kerajaan Rom dan Parsi.

Sementara itu Razman berkata, PAS Perak bersedia untuk menghadapi pilihan raya umum walaupun terpaksa berhadapan dengan pertembungan beberapa penjuru dengan parti lain termasuk parti serpihannya Parti Amanah Negara selain UMNO.

Katanya, PAS juga sudah meminta semua PAS kawasan untuk memberikan nama calon bagi 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 23 Parlimen di Perak untuk dipertimbangkan.

"Kita sudah nyatakan pendirian dan akan memohon kepada PAS Pusat untuk merestui hala tuju politik PAS Perak untuk bertanding dalam 30 kawasan DUN dan lima kawasan Parlimen di Perak pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Berita Harian X