Sabtu, 25 Februari 2017 - 5:13PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Komponen BN perlu bersama beri khidmat kepada rakyat

Oleh Badrul Kamal Zakaria



RAZALI Ibrahim (kanan) menyampaikan amanat kepada ahli pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar pada majlis sembang santai dan ramah mesra pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar di Kampung Parit Keroma, Muar.- Foto Adi Safri

MUAR: Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO perlu sentiasa bergandingan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat secara keseluruhan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata walaupun kewujudan UMNO adalah untuk berkhidmat dan menjaga kebajikan rakyat, namun pada pilihan raya umum (PRU) ia perlu diterjemahkan dalam semangat BN.

"Ini kerana yang akan bertanding pada PRU kelak adalah BN, maka kena ada satu keselarasan, kesepaduan dan pemahaman atas aspirasi penubuhan BN itu sendiri. Kalau kita boleh faham ini, maka tidak timbul soal parti berasas kaum.

"UMNO tidak bertanding pada PRU, tetapi ia adalah antara komponen dalam BN. Kalau kita lihat dari segi masyarakat berlatar belakang kaum, agama dan budaya yang berbeza, maka BN adalah parti yang lengkap.

"Perkara ini jugalah yang akhirnya membentuk pelbagai dasar dan pembangunan negara sebagaimana yang ada pada hari ini sejak negara kita merdeka. Jadi atas sebab itulah kita perlu berusaha dan bekerjasama atas semangat BN kerana kita mewakili rakyat pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa yang berbeza," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai peringatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai BN yang perlu bersiap sedia dan memenangi hati pengundi, semalam ketika ditemui selepas menghadiri Program Sembang Santai dan Ramah Mesra Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar di Kampung Parit Keroma di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar, Ramlah Ismail.

Razali yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, selain itu perubahan landskap politik yang berubah juga turut menuntut UMNO dan BN supaya bertindak dengan lebih berfokus dan berstrategik pada masa akan datang.


Trending

    Disyorkan