Sabtu, 25 Februari 2017 - 8:27AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

PKR patut malu, DAP gaji Saifuddin - Chegubard

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman



PENGASAS Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard). - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: PKR sepatutnya berasa malu kerana membiarkan DAP melantik Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (Chegubard), berkata melalui lantikan itu, PKR yang memerintah Selangor gagal menggunakan pemimpinnya untuk kepentingan parti.

Beliau yang juga bekas aktivis PKR berkata, perkembangan itu akan membolehkan 'musuh' dalam dan luar PKR menggunakan isu Setiausaha Agung PKR kini bekerja dan digaji Setiausaha Agung DAP.

"DAP berjaya mendapatkan Saifuddin kerana kesilapan dan keangkuhan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Besar Selangor menyusun kroni korupnya di Selangor.

"Tahniah kepada Guan Eng kerana tindakan berani dan tidak membazirkan guna tenaga dalam Pakatan Harapan," katanya dalam entri di dalam blognya, semalam.

Saifuddin dilantik secara rasminya ke jawatan itu, kelmarin.

Majlis angkat sumpah diadakan di depan Guan Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Exco Pulau Pinang.

Pelantikan beliau mendapat kelulusan Biro Politik PKR Pusat atas alasan bagi mengukuhkan Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Badrul Hisham bagaimanapun melahirkan kebimbangan adakah Saifuddin akan diterima oleh PKR Pulau Pinang yang majoritiya menyokong Mohamed Azmin.


Trending

    Disyorkan