Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:36AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Mourinho sahkan tak beli pertahanan baharu


Pemain Ivory Coast, Eric Bailly (kiri) dan Jose Mourinho. - Foto Manchester United/Getty)

MANCHESTER: Jose Mourinho tidak akan menandatangani pertahanan baharu pada jendela perpindahan bulan ini, sekali pun bakal kehilangan khidmat pemain Ivory Coast, Eric Bailly yang terbabit dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika, kata pengurus Manchester United itu.

Mourinho dikaitkan dengan perpindahan berpotensi di posisi pertahanan tengah yang menyaksikan pemain Southampton dan Portugal, Jose Fonte sudah pun menyerahkan permohonan untuk berpindah dan dilaporkan menjadi sasaran rakan senegaranya itu.

Begitupun, bekas pengurus Chelsea itu berkata dengan Phil Jones sudah kembali ke tahap kecergasan terbaik, selain Chris Smalling dan Marcos Rojo beraksi sempurna, tiada keperluan untuknya membeli pemain baharu.

"Tidak, saya akan menunggu Bailly," kata Mourinho di kem latihan United. "Saya berharap mereka bertiga boleh mengawal situasi dalam kesemua lapan perlawanan.

"Saya akan cuba merehatkan seorang daripada mereka bagi setiap perlawanan. Pada Sabtu (hari ini menentang Reading di Piala FA), saya akan merehatkan salah seorang dan menentang Hull (separuh akhir Piala Liga) seorang lagi.

"Kami cuba melakukan penggiliran di antara ketiga-tiganya. Kami masih mempunyai Daley Blind sebagai pilihan keempat jika kami memerlukan dia untuk berada di sana. Kami mempunyai Michael Carrick, jadi kami akan cuba."

Pertahanan Benfica, Victor Lindelof juga cenderung dikaitkan dengan United, namun Mourinho berkata pertahanan Sweden itu perlu menunggu sehingga penghujung musim ini untuk melengkapkan perpindahannya.

Sekali pun berpuas hati dengan skuad yang dimilikinya, Mourinho berkata dia menjangkakan tugas sukar bakal diharungi pasukannya bagi mengekang tekanan di empat kejohanan utama - Liga Perdana Inggeris, Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa.

"Saya memiliki 24 pemain," kata Mourinho yang turut mendedahkan tidak akan menyenaraikan Morgan Schneiderlin atau Memphis Depay yang tampak akan angkat kaki dari Old Trafford tidak lama lagi. - AFP