Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:30AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Peralihan kuasa perkukuh lagi PBS - Ramlee


DATUK Ramlee Marahaban. - Foto BERNAMA

SEMPORNA: Keputusan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, melepaskan jawatan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan menyerahkan tugas kepada timbalannya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili disifatkan sebagai peralihan kuasa yang akan memperkukuhkan lagi parti itu.

Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban berpendapat peralihan itu bertujuan memberi laluan kepada tokoh layak iaitu Ongkili untuk memantapkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Hasrat ini (melepaskan jawatan) sudah lama disuarakan beliau (Pairin)... keputusan itu dilihat akan lebih memperkuatkan pimpinan serta kesepaduan dalam PBS," katanya ditemui pemberita selepas majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Daerah Semporna di sini, hari ini.

Katanya, Pairin masih memegang jawatan penting dalam kerajaan negeri iaitu sebagai timbalan ketua menteri merangkap menteri pembangunan infrastruktur negeri.

Sementara itu di TAWAU, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mary Yap Kain Ching turut senada mengenai perkara itu dan yakin tindakan Pairin itu bagi memberi peluang kepada pihak yang lebih muda dan memiliki potensi untuk membimbing PBS.

"Beliau (Pairin) telah berkhidmat untuk PBS lebih daripada 30 tahun , dan proses peralihan kuasa kepada Ongkili ini adalah perkara biasa dan diterima oleh anggota Majlis," katanya.

Yap yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBS merangkap Ahli Parlimen Tawau berkata, langkah itu perlu dipandang positif dan yang penting momentum kekuatan PBS dapat dikekalkan.

Semalam, penyerahan rasmi jawatan presiden PBS oleh Pairin kepada Ongkili berlangsung pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBS di ibu pejabat parti itu di Donggongon, Penampang.

Pairin berkata beliau membuat keputusan untuk berehat daripada kepemimpinan parti tetapi akan meneruskan kerja kemasyarakatan dan tugas sebagai menteri dalam Kabinet Sabah sehingga akhir penggal. - BERNAMA