Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:23AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Piala FA: 2 jaringan Musa ceriakan Leicester


PENYERANG Leicester City, Ahmed Musa meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Everton pada aksi pusingan tiga Piala FA di Goodison Park, semalam. - Foto Reuters

LONDON: Penyerang Leicester City, Ahmed Musa akhirnya mengimbangi nilai perpindahannya sebanyak AS$21 juta (RM93.93juta) apabila hanya memerlukan lima minit untuk meledak dua gol ketika kelabnya mencatat kemenangan 2-1 ke atas Everton dalam aksi pusingan tiga Piala FA, semalam.

Pemain kelahiran Nigeria yang dibeli dari kelab Russia, CSKA Moscow dalam usaha menajamkan jentera serangan penyandang juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, bergelut untuk menyinar pada musim pertamanya.

Dia hanya menjaringkan dua gol sepanjang kempen musim ini, namun menampilkan persembahan menakjubkan di Goodison Park selepas dikeluarkan daripada bangku simpanan bagi menggantikan Leandro Ulloa.

Selepas memadam kelebihan Everton yang terlebih dulu di depan menerusi gol Romelu Lukaku pada minit ke-63 dalam tempoh tiga minit, dia menambah gol kedua lima minit kemudian menerusi gerakan menarik bersama Danny Drinkwater yang berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah, Joel Robles.

Ia adalah kemenangan pertama Leicester di laman lawan dalam kempen domestik musim ini dan sumbangan Musa jelas menggembirakan pengurus, Claudio Ranieri yang turut menghadiahkan penampilan sulung buat Wilfred Ndidi.

"Musa beraksi cemerlang. Saya memerhatikannya baru-baru ini dan berfikir dia sudah mula memahami bola sepak Inggeris dengan lebih baik," kata Ranieri di mana kelabnya ketika ini berada hampir di zon penyingkiran di EPL.

"Ndidi pula hanya dua hari berlatih bersama kami, namun dia menampilkan karektor dan personaliti yang kuat. Persembahan yang hebat."

Keputusan Ranieri yang menyenaraikan pasukan kuat menghadiahkan Leicester prestasi terbaik kelab itu pada musim ini.

"Saya amat gembira. Kami mengharungi perlawanan yang baik menentang lawan kuat yang kami tewas di laman sendiri pada kempen liga. Saya gembira dengan reaksi kami selepas melepaskan gol," katanya. - REUTERS