Sabtu, 25 Februari 2017 - 5:04PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Sharifah Sakinah bakal timang anak perempuan

Oleh Zaidi Mohamad



SHARIFAH Sakinah dijangka melahirkan bayi sulung, Mei depan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon berbakat besar, Sharifah Sakinah dijangka melahirkan bayi sulung, Mei depan.

Beliau yang hamil lima bulan, bersyukur kerana sekali lagi dikurniakan rezeki berbadan dua selepas kandungannya gugur, tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur mendapat rezeki hamil lagi. Keguguran tahun lalu tak memberi apa-apa tekanan.

"Saya anggap ketika itu, tak ada rezeki. Saya lalui kehidupan seperti biasa. Cuma tak sangka, sekembalinya daripada mengerjakan umrah pada Februari tahun lalu, saya dan kakak, Sharifah Shahirah sama-sama hamil," katanya kepada BH Online.

Sharifah Sakinah yang bernikah dengan Aliff Adha pada Mac tahun 2015 berkata, dia dimaklumkan bakal menimang bayi perempuan.

"Suami saya bukan kepalang seronok kerana memang nak anak perempuan. Apatah lagi, dia tidak ada beradik perempuan.

"Bakal anak saya ini akan menjadi cucu pertama untuk keluarga suami. Sebelah saya pula, ini cucu yang ke-17," katanya yang belum beriya-iya membuat persiapan menyambut cahaya mata pertamanya itu.


SHARIFAH Sakinah dan suami, Aliff Adha. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Sharifah Sakinah memberitahu, dia tidak berdepan masalah teruk ketika mengandung.

"Hanya masalah hormon yang cukup ketara sehingga kulit muka agak teruk jadinya.

"Selebihnya, saya nak suami berisi dan memaksa dia makan banyak. Kalau dapat anak yang berisipun, saya tak kisah," katanya.

Biarpun sedang hamil, Sharifah Sakinah terikat dengan dua projek seni yang sudah dipersetujui awal.

Dalam melunaskan tanggungjawabnya, pelakon ini bercerita insiden malang menimpa dirinya apabila terbabit dalam kemalangan jalan raya, baru-baru ini.

"Ketika itu saya dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka bersama pembantu peribadi selepas subuh. Dia yang memandu kereta.

"Saya masih ingat bagaimana badan saya hampir tersentak akibat perlanggaran itu. Saya jadi trauma naik kereta sampai dalam hati, saya nak pakai topi keledar demi keselamatan diri.

"Tapi alhamdulillah, saya ok," katanya.


Trending

    Disyorkan