Khamis, 30 Mac 2017 - 1:01PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Anita Sarawak sudah kembali ke Singapura

Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed


BENARKAH penyanyi bertaraf superstar, Anita Sarawak, 65, yang menghilangkan diri pada pertengahan tahun 2011 kini kembali menetap di Singapura?

Berita mengenainya tidak hanya diperkatakan oleh penggiat seni di negara ini, malah kesahihan berita itu juga cuba dileraikan oleh pengamal media di Singapura.

Bagi mendapatkan kepastian, BH cuba bertanyakan hal ini kepada penulis lirik terkenal Singapura, Yusnor Ef, 80, yang pernah bekerja dengan Anita dalam menghasilkan beberapa lagu saduran tetapi beliau juga tiada jawapan bagi menjawab misteri kehilangan penyanyi lagu Seksis dan Tragedi Buah Epal itu.

"Saya tahu Anita kembali semula ke Amerika Syarikat sejak beberapa tahun lalu, tetapi apa yang saya dengar, Anita sudah pulang ke Singapura. Saya cuba mencari, tetapi tidak menemuinya. Pernah saya bertanya kepada beberapa teman baiknya, tetapi mereka tidak mempunyai jawapannya.

"Mereka beritahu, sejak menghilangkan diri, Anita tidak lagi menghubungi. Kali terakhir saya berjumpa dengan Anita adalah ketika dia memenuhi undangan program televisyen di Singapura sekitar tahun 1990-an. Selepas itu, saya hanya mendengar berita mengenainya menerusi teman-teman dan akhbar.

"Pada awalnya, saya tidak menganggap kehilangan Anita sebagai merajuk atau membawa diri. Mungkin Anita mempunyai projek di luar negara atau kembali menyanyi di Caesar's Palace, Las Vegas," katanya ketika dihubungi di Singapura, baru-baru ini.

Kepulangan anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Noor dan seniwati Allahyarham Siput Sarawak bersama suaminya, Mahathir Abdullah ke Las Vegas, Amerika Syarikat dikatakan berlaku secara tergesa-gesa. Hanya dua hari sebelum berangkat, Anita yang lebih mesra membahasakan dirinya sebagai Kak Nita menemui ahli keluarga untuk menyatakan hasratnya pulang ke Las Vegas.

Rindu persembahan bertenaga

Yusnor yang menghasilkan lirik lagu nyanyian Anita antaranya Perasaan Di Pagi Hari dan Dikau Menghilang itu pernah bertanya kepada adik penyanyi itu, Noorkumalasari atau Noor mengenainya namun jawapan yang diterima tetap sama.

"Noor hanya memberitahu saya yang Anita membawa diri. Jika benar Anita merajuk dan kecewa dengan industri, kita kehilangan bakat besar yang sukar dicari ganti. Kita pasti merindui suara dan persembahannya yang penuh bertenaga dan menghiburkan.

"Dalam soal ini, siapa kita untuk menyalahkan Anita? Kehidupan manusia tidak sama dan sentiasa berubah setiap masa, begitu juga Anita. Memang sayang apabila penghibur sehebatnya lenyap begitu saja, tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dan bagaimana kehidupan peribadinya hingga hari ini," katanya.

Sebagai penulis lirik, Yusnor bukan saja pernah bekerja dengan Anita, malah turut menghasilkan lirik yang dinyanyikan Allahyarham Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini, Toh Puan Rafeah Buang, Sanisah Huri, Rahimah Rahim, A Ramlie dan ramai lagi sejak dekad 1950-an dan 1960-an.


PENULIS lirik terkenal Singapura, Yusnor Ef.

Hormati cari kerja Anita

Yusnor mengakui, begitu menghormati cara Anita bekerja terutama ketika di studio untuk merakamkan lagu.

"Saya mengenali Anita ketika bersama bekerja dengan komposer, Allahyarham Kassim Masdor yang menjadi penerbit albumnya pada tahun 1960-an. Ketika itu, Anita sedang berjinak-jinak merakamkan lagu Melayu. Saya pula menghasilkan beberapa lirik lagu saduran untuk dinyanyikannya.

"Saya masih ingat, ada ketika Anita memegang tangan saya untuk menyebut beberapa perkataan yang tidak betah disebut. Saya cuba mengajar Anita menyanyi dengan sebutan yang jelas. Arwah Kassim adalah komposer pertama yang memberi peluang Anita merakamkan lagu Melayu. Ketika itu, nama Anita belum menyerlah sebagai penyanyi," kata anak didik Allahyarham Tan Sri P Ramlee itu.

Melihat kesungguhan Anita ketika itu, Yusnor yang juga Presiden Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) yakin wanita itu bakal menjadi penghibur terkenal.

"Anita sangat mementingkan waktu. Setiap kali rakaman, Anita akan tiba awal dan tidak suka orang lain menunggunya. Ketika dalam studio rakaman, Anita sudah bersedia dengan menghafal lirik lagu yang akan dinyanyikan. Jika tidak yakin dengan sebutan, Anita tidak segan bertanya.

"Kesungguhan Anita dan kebanyakan penyanyi zaman dulu jauh berbeza dengan cara penyanyi sekarang bekerja. Mereka menyanyi dari hati. Sebelum ke studio rakaman, mereka sudah bersedia sepenuhnya. Saya lihat penyanyi zaman sekarang, ada yang baru mencari lirik lagu apabila masuk studio rakaman.

"Bagaimana mereka mampu menghayati bait lirik jika tidak melakukan persediaan awal?," katanya yang masih sihat dan aktif menerbitkan program serta dokumentari pada usia 80 tahun.


Anita Sarawak. - Foto Khairunisah Lokman

Kali terakhir beraksi

Kali terakhir Anita muncul di khalayak ketika mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada April 2011. Selepas itu, bayangan Anita tidak lagi menjelma malah kehilangannya menjadi tanda tanya kepada ramai.

Usaha seorang wartawan akhbar harian menjejaki Anita di kediamannya Campana Drive, Spring Valley, Las Vegas pada Februari 2012, juga tidak membuahkan hasil. Selepas dua hari menanti, usahanya menemui jalan buntu apabila kediaman itu kelihatan kosong seperti tiada penghuni.

Pernah tersebar berita mengatakan banglo berharga jutaan dolar sudah dijual, namun Noor yang dihubungi wartawan untuk mengesahkan perkara itu menafikannya. Tidak lama selepas itu, nama Anita kembali hangat diperkatakan apabila sekumpulan peminat mendakwa terserempak dengannya di sebuah kompleks beli-belah di Texas pada Julai 2012.

Tidak lagi berpenampilan elegan yang sinonim dengannya, imej Anita berubah apabila dikatakan mengenakan jubah dan bertudung. Anita juga dilihat sedang berjalan sendirian tanpa ditemani suaminya. Namun, segala yang diperkatakan itu terus tinggal menjadi tanda tanya yang masih menagih jawapan pasti.


ANITA bersama suaminya.

Merajuk dengan dunia hiburan

Merajuk, kecewa dan terluka, itu antara perkataan yang sering diungkapkan Noor setiap kali pertanyaan mengenai khabar Anita diajukan. Bagaimanapun, punca sebenar dan siapa yang menyakiti hingga menyebabkan Anita merajuk serta membawa diri begitu lama tetap tergenggam kemas dan tidak pernah dibocorkan.

Meskipun kelibat Anita sudah lama menyepi dari radar industri hiburan, namun ada saja berita mengenainya yang diperkatakan termasuk isu rumah tangganya dengan Mahathir yang dibina sejak tahun 2001 dikatakan bergolak. Pernah juga tersebar berita mengatakan pasangan itu sudah bercerai.

Mengukuhkan lagi dakwaan itu, ada sumber mengatakan Anita dan Mahathir sering bergaduh serta bertelingkah, malah rakan baiknya turut menjadi saksi perbalahan mereka yang berlaku dua tahun sebelum kehilangannya. Klimaks kepada kehilangannya apabila Anita dikatakan kononnya berselisih faham dengan teman baik yang dikenali lebih 10 tahun.

Sekali lagi, Noor pada Mac 2015 terpaksa tampil menjelaskan semua yang diperkatakan itu adalah fitnah.

"Kali terakhir saya berbual dengannya menerusi telefon kira-kira dua bulan lalu. Saya bertanya kepadanya mengenai gosip mengatakan dia sudah berpisah dengan Mahathir dan Anita memberitahu perkara itu tidak benar. Laporan yang keluar mengenai perkara itu adalah fitnah dan ini bukan perkara baharu.

"Kehidupannya adalah di Las Vegas dan dia tidak berhasrat untuk pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini. Bukannya kerana sudah bercerai atau ingin mengelak daripada sesiapa sebaliknya dia gembira dengan kehidupannya sebagai suri rumah selain menguruskan bisnes bersama suami," Noor dipetik sebagai berkata.

Noor dalam satu kenyataan pada tahun lalu turut memberitahu, Anita sudah bersara daripada dunia nyanyian untuk memberi tumpuan kepada perniagaan hartanah yang dikendalikan bersama suami. Hakikatnya, gosip yang bertebaran berlalu tanpa sesiapa yang mengesahkannya. Selepas lima tahun, teka-teki kehilangan Anita masih belum terungkap.


ANITA sudah pulang ke Singapura?. - Foto Khairunisah Lokman

INFO

  • Pada 1985, Anita Sarawak memulakan kerjaya seninya di AS apabila mengikat kontrak dengan Caesar's Palace di Las Vegas.
  • Selepas 20 tahun, Anita pulang ke Singapura seterusnya menetap di Kuala Lumpur untuk meneruskan karier seninya.
  • Sepanjang mengikat kontrak dengan saluran televisyen Astro, Anita mengendalikan beberapa program termasuk Chef Diva, Agensi Melor, Bersama Anita, Kwek Mambo Anita dan Astana.
  • Anita turut mengikat kontrak dengan KRU Studios sebagai artis rakaman dan mempunyai dua single berjudul Seksis dan Ular.
  • Anita tidak pulang untuk memberi penghormatan terakhir ketika ibu tirinya, Allahyarham Datin Umi Kalthum meninggal dunia dalam tidur pada Ramadan 2014.


Trending

    Disyorkan