Sabtu, 25 Februari 2017 - 8:31AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Piala FA: Chelsea mara, Terry dibuang padang


JOHN Terry dilayangkan kad merah kerana mengasari Lee Angol pada saingan Piala FA di Stamford Bridge. - Foto Reuters

LONDON: Kad merah yang dilayangkan terhadap John Terry membayangi kemenangan selesa 4-1 Chelsea ke atas kelab divisyen tiga, Peterborough United, yang membawa pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu ke pusingan empat Piala FA.

Dua gol daripada Pedro Rodriguez dan jaringan Michy Batshuayi dan Willian mengesahkan kemenangan bagi mengelak skuad bimbingan Antonio Conte mencipta aib di kejohanan itu.

Begitupun, arahan keluar padang yang diterima Terry pada minit ke-67 kerana mengasari Lee Angol jelas tamparan besar buat pemain berusia 36 tahun itu yang beraksi buat pertama kali dalam tempoh dua bulan akibat kecederaan dengan kontraknya akan berakhir penghujung musim ini.

Chelsea ketika itu sedang mendahului 3-0 tatkala Peterborough merapatkan kedudukan menerusi Tom Nichols, sebelum gol kedua Pedro pada minit ke-75 meletakkan tuan rumah kembali selesa.

Conte melakukan sembilan pertukaran dalam kesebelasan utama selepas tewas 2-0 pada pertengahan minggu lalu kepada Tottenham yang sekali gus menamatkan deretan 13 kemenangan kelab itu.

Ia membuka peluang buat Terry kembali disenaraikan bersama Kurt Zouma namun pengendali dari Itali itu jelas tidak selesa dengan keputusan pengadil terhadap Terry.

"Kamu perlu menghormati keputusan pengadil namun dalam kes ini kami mungkin akan membuat rayuan bagi situasi itu," kata Conte. "Situasinya amat jelas dan saya fikir John tidak patut menerimanya.

"Kini penting untuk kami meneruskan dengan cara seperti ini kerana kami sudah memasuki separuh musim ini dan Piala FA. Kami mempunyai begitu banyak komitmen."

Selain Terry dan Zouma, pemain muda Ruben Loftus-Cheek dan Nathaniel Chalobah turut disenarai dalam kesebelasan utama namun mereka tampak berjaya mengimbangi perlawanan dengan tenang.

Pedro membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi peluang terhidang sebelum Batshuayi meledak gol kedua, dua minit sebelum rehat babak pertama.

Pemain Brazil, Willian menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-52 dan selepas Nicholls menjaringkan gol tunggal Peterborough pada minit ke-70, Pedro membuktikan ketajamannya dengan meledak gol kedua peribadinya lima minit kemudian. - AFP


Trending

    Disyorkan