Selasa, 23 Mei 2017 - 11:03PM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Klopp pertahan keputusan turun pemain simpanan


JUERGEN Klopp. - Foto Reuters

LONDON: Juergen Klopp mempertahankan keputusannya merehatkan ramai pemain utama Liverpool ketika pertembungan pusingan tiga Piala FA menentang kelab divisyen empat Plymouth Argyle yang berakhir seri tanpa jaringan, semalam.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Reds menambah beban apabila terpaksa mengharungi perlawanan ulangan - situasi yang perlu dielak kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Kegagalan meraih kemenangan dalam perlawanan di mana Klopp melakukan 10 perubahan berbanding ketika perlawanan terakhir EPL memaksa Liverpool terpaksa mengharungi sembilan perlawanan pada Januari.

The Reds sebelum ini sudah dijadual beraksi tiga perlawanan pada minggu ini - dua perlawanan timbal balik separuh akhir Piala Liga menentang Southampton.

"Saya membuat keputusan untuk melakukan perubahan dan menamakan pemain-pemain muda, itu adalah kehidupan," kata Klopp kepada BT Sport.

"Dengan satu lagi barisan kami, keputusan kemungkinan juga sama. Tidak semestinya serupa namun kemungkinannya ada. Ia adalah pengalaman yang baik buat pemain-pemain."

Pengendali dari Jerman itu turut mengakui Plymouth yang ketika ini menghuni tangga kedua Liga Dua layak untuk mencatat keputusan seri namun tetap tidak dapat menghalang dirinya daripada mengkritik corak permainan bertahan kelab itu.

"Plymouth layak mendapat keputusan seri dan perlawanan ulangan," katanya.

"Saya tidak tahu berapa ramai orang tinggal di Plymouth. Namun saya merasakan seperti seluruh Plymouth berada dalam jarak 18 lebih lima meter di dalam kotak penalti mereka.

"Kami perlu kekal tenang dan sabar. Ia adalah cabaran yang besar dalam bola sepak, apabila kamu bermain dengan pasukan yang memainkan corak terlalu bertahan.

"Kami mencipta sendiri masalah kami. Tidak mudah untuk menjadikan perlawanan seperti ini menarik.

"Kami mempunyai pasukan yang mudah jadi ia sukar. Kami boleh melakukan lebih baik dan jika kami lebih baik, kami mempunyai peluang cerah untuk mara." - REUTERS


Trending

    Disyorkan