Sabtu, 25 Mac 2017 - 11:48AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Piala FA: Spurs mudah jinak Aston Villa


PEMAIN Tottenham Hotspur, Ben Davies meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Aston Villa pada aksi Piala FA Inggeris di White Hart Lane, semalam. - Foto Reuters

LONDON: Juara lapan kali Piala FA, Tottenham Hotspur merekodkan enam kemenangan berturut-turut ketika menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Aston Villa 2-0 di pusingan ketiga, semalam.

Pada pertembungan di White Hart Lane itu, kedua-dua gol kemenangan Spurs dijaringkan Ben Davies menerusi tandukan kilas pada minit ke-71 sebelum pemain Korea Selatan, Son Heung-Min melengkapkan jumlah jaringan 10 minit sebelum permainan berakhir.

Bos Spurs, Mauricio Pochettino membuat sembilan pertukaran terhadap pasukannya yang menamatkan deretan 13 kemenangan berturut-turut Chelsea, minggu lalu sekali gus menyaksikan skuad bimbingannya agak bergelut sebelum Davies meledak jaringan pertamanya musim ini.

Keputusan Pochettino membawa masuk Dele Alli yang menjaringkan dua gol ketika menentang The Blues pada awal babak kedua juga tampak berhasil apabila gerakannya jelas menjadi pencetus terhadap kemenangan Spurs.

Pochettino merehatkan beberapa pemain utamanya termasuk penyerang, Harry Kane, Christian Eriksen dan Victor Wanyama bagi memberi peluang terhadap Son, Moussa Sissoko dan pemain dari akademi, Harry Winks.

"Piala FA sentiasa sukar namun kami bermain dengan pasukan yang mempunyai organisasi yang amat baik dan sukar untuk menewaskan mereka," kata Pochettino.

"Saya gembira dengan pemain-pemain kami yang tidak mempunyai banyak peluang untuk bermain."

Spurs sebelum ini hanya mara sekali di suku akhir Piala FA dalam enam percubaan terakhir dan keputusan itu menyaksikan betapa seriusnya Pochettino menghadapinya kali ini ketika kelab itu turut bersaing di Liga Perdana Inggeris dan Liga Europa. - AFP


Trending

    Disyorkan