Jumaat, 20 Januari 2017 - 5:19AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Guan Eng perlu henti kelirukan rakyat - GERAKAN

Oleh Fahmy Azril Rosli



Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Liang Teck Meng (kiri) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, didesak menghentikan helah bagi mengaburi masyarakat Pulau Pinang berhubung status sebenar ekonomi negeri itu.

Setiausaha Agung GERAKAN, Datuk Liang Teck Meng, mendakwa sumber pendapatan Pulau Pinang bukan disumbangkan menerusi cukai tanah seperti didakwa Setiausaha Agung DAP itu.

Teck Meng mendakwa, laporan Ketua Audit Negara menunjukkan pendapatan cukai tanah kekal statik kerana cuma meningkat daripada RM93 juta pada tahun 2008 kepada RM104 juta pada 2015.

"Secara jelasnya, jumlah itu tidak mencukupi untuk membayar peningkatan besar dalam perbelanjaan pentadbiran kerajaan DAP di Pulau Pinang.

"Apa yang menunjukkan peningkatan ketara adalah hasil premium tanah menerusi pemberi hak milik yang meningkat setiap tahun dari RM19 juta pada 2008 kepada RM324 juta pada 2015.

"Ketua Audit Negara menjelaskan, perkara ini adalah hasil daripada penjualan tanah. Antara tahun 2008 hingga 2015, ia berjumlah RM1.22 bilion yang mana lebih tinggi berbanding negeri terkumpul iaitu RM574 juta," katanya pada taklimat bersama media di sini, semalam

Teck Meng yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mendakwa, angka berkenaan tidak termasuk pelbagai aset lain yang dijual oleh Penang Development Corporation (PDC).

Beliau mendakwa kerajaan negeri di bawah pentadbiran Guan Eng terbabit dengan penjualan tanah dalam urus niaga berjumlah RM6.34 bilion bagi projek pembinaan terowong Pulau Pinang, selain dikatakan akan meminjam berbilion ringgit bagi membiayai projek Pelan Induk Pulau Pinang bernilai RM46 bilion.

"Dalam akaun berasingan, kerajaan Pulau Pinang menerima bayaran untuk jualan tanah daripada PDC sebanyak RM173.5 juta antara tempoh tahun 2003 dan 2015. Ini bermakna, hasil jualan tanah negeri kini berjumlah RM1.4 bilion.

"Pemeriksaan kami ke atas akaun berkenaan menunjukkan antara tahun 2019 hingga 2014, kerajaan negeri menutup pelbagai akaun pemegang amanah negeri seperti Akaun Perumahan Awam Kos Rendah dan Pinjaman Projek Bekalan Air Luar Bandar.

"Bakinya dipindahkan untuk digabung dan diiktiraf sebagai pendapatan negeri membabitkan pemindahan kira-kira RM240.19 juta," katanya.

GERAKAN mendakwa, perbelanjaan mengurus Pulau Pinang meningkat pada tahun 2008 (RM283.15 juta) hingga 2015 (RM825.88 juta) sebanyak tiga kali ganda.

Pada November tahun lalu, Teck Meng pernah mengemukakan 12 soalan terhadap Institut Pulau Pinang yang dibiayai kerajaan negeri Pulau Pinang, namun tidak dijawab oleh Guan Eng.