Sabtu, 25 Februari 2017 - 8:31AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

Tun M perlu ubah sikap - PAS

Oleh Azman Mahmood


KOTA BHARU: Sikap Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menganggap dirinya serba tahu termasuk dalam soal agama, akan menyukarkan pembentukan kerjasama parti pembangkang.


NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. - Foto Abdullah Yusof

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sikap Dr Mahathir itu turut menyulitkan PAS menjalin kerjasama dengan PPBM bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional (BN).

"Dr Mahathir tidak boleh bekerjasama dengan sesiapa, itulah perangainya sejak dulu walau tidak faham pun (isu) dia cakap.

"Beliau bercakap semua perkara termasuk yang bertentangan dengan mufti.

"Sikap ini kalau tak diubah, akan menyukarkan kerjasama pembangkang terutama dengan PAS," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, PAS tidak bimbang menjalin kerjasama dengan PPBM kerana tidak membabitkan dengan Dr Mahathir.

"Jika berlaku kerjasama dalam pakatan pembangkang, PAS tetap tidak menyertai Pakatan Harapan," katanya.

Beliau mengakui PAS menaruh harapan untuk menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dengan parti pembangkang.

Bagaimanapun, jika matlamat itu tidak menjadi kenyataan, katanya, PAS tetap sedia menghadapi pertandingan tiga penjuru atau lebih.


Trending

    Disyorkan